Program Kesedaran Kesihatan Mental – “Kesihatan Mental: Kunci Produktiviti dan Kesejahteraan”
Pada 24 Jun 2026, Program Kesedaran Kesihatan Mental bertemakan “Kesihatan Mental: Kunci Produktiviti dan Kesejahteraan” telah diadakan di Auditorium ASSC, HCTM. Program ini melibatkan lebih 60 orang kakitangan dari pelbagai disiplin perubatan.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental dalam kalangan petugas kesihatan, di samping mempromosikan saluran dan medium sokongan yang disediakan kepada kakitangan bagi mendapatkan bantuan sekiranya berdepan isu berkaitan kesihatan mental di tempat kerja.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), PM. Dr. Shahizon Azura Mohamed Mukari. Program ini menampilkan beberapa siri ceramah yang disampaikan oleh panel-panel berpengalaman, iaitu Dr. Norlelawati Mohamad (HEARTS HCTM), En. Ek Zakuan Kalil (Pegawai Psikologi, Jabatan Sumber Manusia), En. Mursidi Ahamad (Jawatankuasa Keganasan Pekerjaan dan Gangguan Seksual HCTM), Dr. Farah Deena Abdul Samad (Pakar Psikiatri HCTM), Puan Masrifah Zakaria (Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan HCTM) dan Dr. Anis Ezdiana Abdul Aziz (Penyelaras Poliklinik Warga dan Wad Warga HCTM).
Selain itu, para peserta turut berpeluang mengikuti sesi mindfulness yang dikendalikan oleh Cik Nisa Athirah Mohammad Fadzli, Kaunselor Pelatih Jabatan Psikiatri, sebagai pendekatan praktikal dalam membantu peserta mengurus tekanan dan meningkatkan kesejahteraan mental.


































