Lawatan Penanda Aras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) ke Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
Pada 24 Mei 2024 yang lalu, UKKP telah mengadakan lawatan penanda aras KKP ke Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia yang terletak di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur. Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan perkongsian pengalaman dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti pihak JKR Malaysia berkaitan aspek KKP di tempat kerja yang mendorong kejayaan mereka dalam memenangi Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kebangsaan (OSH Award) pada tahun 2022.
Lawatan ini telah diketuai oleh Dr. Nora ‘Aini Ramly selaku Timbalan Ketua UKKP dan disertai oleh kakitangan UKKP. Kehadiran delegasi UKKP telah diraikan oleh Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat JKR, Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Jurutera Awam Penguasa Kanan, Bahagian Pengurusan Kualiti, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ir. Hj. Abdul Rani bin Harun, serta beberapa orang kakitangan kanan JKR daripada pelbagai sektor. Selain taklimat ringkas berkenaan aktiviti KKP JKR Malaysia, delegasi UKKP juga telah dibawa melawat ke beberapa tingkat pejabat di bangunan Menara Kerja Raya.
