Sunathon HCTM 2022
CHERAS, 10 Disember 2022 – Seramai 86 orang anak-anak warga HCTM UKM dan Rumah Ronald McDonald telah menyertai Program Sunathon HCTM 2022′ yang diadakan pada hari ini. Program khatan beramai-ramai anjuran Hospital Canselor Tuanku Muhriz merupakan acara tahunan yang telah bermula sejak tahun 2003 dengan tujuan melaksanakan tanggungjawab sosial bagi membantu meringankan bebanan warga kerja HCTM yang kurang berkemampuan. Program ini dilaksanakan pada setiap tahun kecuali tahun 2020, ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Acara perasmian Program Sunathon HCTM 2022 telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM di Auditorium HCTM. Turut hadir dalam program, En. Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar HCTM, En. Mohd. Nasri Nordin, Pengarah Urusan Rumah Ronald McDonald, Prof. Madya Dr. Shahrun Niza Abdullah Suhaimi, Ketua Jabatan Surgeri, dan Lt. Kol. (PA) Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Md. Zainuddin, Ketua Jawatankuasa Sunathon HCTM.








