Sambutan Hari Warga Emas 2025 “Jom Ungu Tanda Kasih dan Penghargaan Kita”
‘Jom Ungu Tanda Kasih dan Penghargaan Kita’ sempena Sambutan Hari Warga Emas 2025, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1 Oktober 2025 (Rabu) bertempat di Lobi Utama, HCTM. Program anjuran Jabatan Khidmat Pelanggan (JKP) dengan kerjasama Jabatan Komunikasi Korporat dan Jabatan Multimedia dan Penyiaran adalah untuk menghargai jasa dan sumbangan warga emas sejajar dengan tema tahun 2025, “Memperkasa Suara Warga Emas Ke Arah Masa Depan Inklusif”. Warga HCTM dari pelbagai jabatan/pusat/unit bersama-sama meraikan kempen ini dengan pakaian atau aksesori berwarna ungu. Warga emas turut diraikan dengan pemberian bunga Daisi sebagai simbol penghargaan dan penghormatan serta penyediaan khidmat penghantaran pesakit warga emas ke semua lokasi temujanji menggunakan kerusi roda yang dihias khas bagi memastikan keselesaan kepada warga emas. Selain itu, HCTM juga menjalankan soal selidik secara bersemuka untuk mengukur kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan kaunter JKP, bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa berkualiti dan memenuhi keperluan warga emas dan komuniti secara menyeluruh. Turut hadir memberikan sokongan, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), HCTM dan YBrs. Encik Ahmad Zamri Noordin, Ketua Jabatan Khidmat Pelanggan.
Selamat Menyambut Hari Warga Emas 2025!
Daripada Pengurusan dan Warga HCTM.
