Sambutan Hari Retina dan Hari Penglihatan Sedunia 2025

10 Okt 2025 2025, Berita
Program Sambutan Hari Retina dan Hari Penglihatan Sedunia 2025 anjuran Jabatan Oftalmologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan pada 26 September 2025 (Jumaat) di Lobi Utama, Blok Klinikal, HCTM. Sambutan Hari Retina Sedunia disambut pada hari Ahad terakhir bulan September setiap tahun, manakala Hari Penglihatan Sedunia pula disambut pada hari Khamis minggu kedua bulan Oktober. Kedua-dua sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran global terhadap isu-isu kesihatan mata, termasuk kepentingan deria penglihatan, langkah pencegahan penyakit mata, serta usaha berterusan dalam menangani masalah kebutaan.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Dr. Othmaliza Othman, Ketua Jabatan Oftalmologi seterusnya ucapan perasmian oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM. Beliau berharap agar penganjuran program ini mampu memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada masyarakat tentang kepentingan kesihatan mata, sekali gus meningkatkan tahap kesedaran dalam usaha mencegah penyakit mata dan mengurangkan risiko masalah penglihatan. Turut hadir sama dalam sesi ini adalah YBrs. Dr. Ayesha Mohd Zain, Ketua Unit Medical Retina merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Sambutan Hari Retina dan Hari Penglihatan Sedunia 2025, Pegawai-pegawai Kanan dan warga HCTM.

Search

+