Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat HCTM
Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat HCTM anjuran Unit Kardiologi, Jabatan Perubatan HCTM telah diadakan pada 12 Disember 2024 bertempat di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Majlis ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) mewakil Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.
Sambutan Hari Jantung Sedunia ini adalah bertujuan melahirkan kesedaran kepada cara hidup sihat, mendidik kakitangan tentang penjagaan jantung sihat melalui aktiviti dan diet yang sihat serta menjauhi rokok, memberi pendedahan berkenaan penyakit jantung dan kesan terhadap populasi di Malaysia. Unit Kardiologi, Jabatan Perubatan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Farmasi, Jabatan Perubatan Kecemasan, Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan serta Unit Fisioterapi, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan telah mengambil inisiatif untuk menjayakan Program Sambutan Hari Jantung Sedunia 2024 peringkat HCTM dengan tema ‘Use Heart For Action’ dan lebih istimewa lagi pada tahun ini julung kalinya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), dalam ucapannya memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah (2022), 80% pesakit darah tinggi terdedah kepada komplikasi parah penyakit jantung dan penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian di kalangan rakyat Malaysia selama 13 tahun dari 2005 hingga 2017. Penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi, obesiti, dan diet dan gaya hidup yang tidak sihat turut menyumbang kepada peningkatan. Berdasarkan Malaysia “National Cardiovascular Disease (NCVD) ACS/PCI registry” data, umur pesakit yang mendapat serangan jantung jauh lebih muda berbanding dengan negara-negara lain (lebih kurang 10 tahun lebih muda, purata usia 58 tahun). Sebanyak 25% daripada pesakit terdiri daripada golongan berumur di bawah 50 tahun.
Beberapa aktiviti dijalankan antaranya perkongsian ilmu dan memberi kesedaran terhadap masalah kesihatan jantung. Satu forum berkaitan penyakit jantung yang bertajuk ‘Heart Attacks Know No Age’ akan diadakan sempena sambutan ini, selain itu aktiviti seperti saringan kesihatan, Ujian kesihatan Jantung (ECG dan Echo), pameran kesihatan, demonstrasi ‘Cardiopulmonary Resuscitation’ (CPR) dan konsultasi kesihatan dari pakar jantung turut diadakan. Intipati forum dan perbincangkan berkenaan kepentingan kritikal kesihatan jantung akan menyentuh dari aspek dan kaitan dengan profesion kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Turut hadir dalam majlis, YBrs. Dr. Nor Halizam binti Ismail, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Persekitaran, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, YBrs. Dr. Mohd Shawal Faizal Mohamad, Ketua Unit Kardiologi, Jabatan Perubatan HCTM, YBrs. Dr. Beh Boon Cong, Pengerusi Jawatankuasa Hari Jantung HCTM, pakar-pakar kardiologi, ketua-ketua Bahagian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan tetamu jemputan.





