Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat HCTM

CHERAS, 6 Mac 2024 – “Kesihatan buah pinggang untuk semua” merupakan tema Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia pada tahun ini. Unit Nefrologi Jabatan Perubatan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan serta Persatuan Pakar Perubatan UKM mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024 Peringkat HCTM di Lobi Utama, Blok Klinikal HCTM.

Menurut Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Ketua Jabatan Perubatan, saban tahun rakyat Malaysia yang menderita penyakit kegagalan fungsi buah pinggang semakin meningkat. Pada tahun 2012, seramai 29,452 rakyat negara ini, menjalani rawatan dialisis dan jumlah kian meningkat kepada 51,256 pesakit pada tahun 2022.

“Jumlah pesakit meningkat lebih dua (2) kali ganda dalam tempoh hanya 10 tahun dan peningkatan ini dijangka akan berterusan, sekiranya langkah-langkah penjagaan kesihatan tidak diutamakan” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian pagi ini.

Beliau juga berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran dan kepedulian tentang kesihatan buah pinggang dan jadikan program ini sebagai tonggak penting dalam usaha meningkatkan kesedaran tersebut.

Dianggarkan seramai 100 orang awam dan kakitangan telah hadir ke majlis perasmian ini. Majlis telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Ketua Jabatan Perubatan dan wakil Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Search

+