Program Sunathon Parlimen Bandar Tun Razak
CHERAS 26 OGOS 2023 – Program Sunathon Parlimen Bandar Tun Razak telah selesai disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak pada pagi tadi di Lobi Utama, Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Pelaksanaan program Sunathon ini merupakan salah satu dari program tanggungjawab sosial korporat (CSR) HCTM dengan melibatkan 48 orang kanak-kanak daripada Parlimen Bandar Tun Razak. Program Sunathon ini merupakan kesinambungan program Karnival Madani; Sihat dan Prihatin Sempena Penutup Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM yang telah berlangsung pada 9 Julai 2023 yang lalu melibatkan penduduk Parlimen Bandar Tun Razak.
Adalah difahamkan selain program Sunathon pada hari ini, beberapa aktiviti CSR HCTM lain juga telah dirancang untuk dilaksanakan khas untuk penduduk Parlimen Bandar Tun Razak. Antara program tersebut ialah Program Pemberian Baucer Pemeriksaan Kesihatan Secara Percuma, Program berkaitan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, Program Kesedaran Berkaitan Dietetik dan Sajian Makanan serta Program berkaitan Kesihatan Mental.
Menurut Dato’ Seri Wan Azizah, semua program ini bakal dilaksanakan di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak untuk manfaat bersama terutamanya dari segi aspek menjalani kehidupan sihat, membentuk masyarakat yang sejahtera selaras dengan kehendak Malaysia Madani. Penganjuran program ini selaras dengan slogan HCTM sendiri iaitu Better, Faster, Friendlier dalam membantu menjayakan agenda universiti, negara dan kerajaan untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik dan mempertingkatkan kepelbagaian kaedah rawatan yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Malaysia.
Hadir dalam majlis Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Dekan Fakulti Perubatan UKM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM, Timbalan-timbalan Pengarah dan Timbalan Pendaftar HCTM, Encik Mohd Fauzi Abdul Rahim, dan Pengurus Operasi McDonald Kawasan Kuala Lumpur Selatan mewakili Ronald McDonald House Charities Malaysia.









