Pelancaran Kempen “1 Pesakit, 1 NRP: Kemaskini Maklumat Anda”

26 Dis 2024 2024, Berita
Pelancaran Kempen “1 Pesakit, 1 NRP: Kemaskini Maklumat Anda” anjuran Jabatan Khidmat Pelanggan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM (HCTM) telah berlangsung pada 18 Disember 2024 (Rabu) bertempat di Lobi Utama, HCTM. Program ini merupakan komitmen hospital dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan perawatan di HCTM. Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.

 

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa kemaskini dan penyelenggaraan maklumat pesakit yang tepat dan terkini adalah amat penting untuk memastikan rawatan dapat diberikan dengan lebih pantas, efisien dan bersasar. Sistem Nombor Rekod Pesakit (NRP) menjadi teras kepada pengurusan maklumat yang cekap, membolehkan proses pendaftaran dan rawatan lebih lancar, meningkatkan kualiti pengalaman pesakit secara keseluruhan serta meminimumkan risiko kesilapan dalam rawatan. Usaha ini bukan sahaja memenuhi keperluan hospital, malah membawa manfaat besar kepada pesakit. Maklumat peribadi pesakit penting bagi memudahkan perhubungan antara pihak hospital dengan waris pesakit jika berlaku kecemasan semasa mendapatkan rawatan. Selain itu, bagi sebaran dan penyampaian maklumat berkaitan pertukaran atau penundaan tarikh temujanji dapat disampaikan dengan mudah dan cepat. Kempen ini telah dijalankan selama 3 hari pada bulan Oktober dan November.

 

Turut hadir di dalam program ini YBrs. Encik Ahmad Zamri Noordin, Ketua Jabatan Khidmat Pelanggan, HCTM merangkap Pengerusi Kempen, Ketua-ketua jabatan, Pegawai-pegawai kanan dan warga HCTM.

Search

+