Pasukan HCTM menjayakan KPT Prihatin Komuniti Sejahtera di Batu Pahat
BATU PAHAT, 25 Feb 2022 – Seramai 17 orang sukarelawan UKM yang terdiri daripada pensyarah, doktor pakar, jururawat, kakitangan makmal dan pelajar pascasiswazah telah turun padang pada hari ini dalam program KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS) yang telah diadakan di Balairaya Pekan Sri Medan, Batu Pahat, Johor. Program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama UKM telah melibatkan kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz bagi memberikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan percuma kepada penduduk setempat disana. Perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan adalah pemeriksaan darah tinggi, pemeriksaan glukos dalam darah, BMI, klinik pemeriksaan ortopedik, dan pemeriksaan kesihatan rumah ke rumah. Selaras dengan konsep program yang berbentuk ‘outreach’, program ini bertujuan untuk memberi pendedahan, kefahaman dan kesedaran dalam penjagaan kesihatan bagi mengurangkan morbiditi dan mortaliti penduduk Malaysia. Program yang berlangsung selama dua hari di Pekan Sri Medan dan Pekan Semerah dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan.








