Lawatan Akademik Cyber University Collage of Medical Sciences (CUCMS) dan University of Health And Welfare Niigata Japan ke HCTM

21 Feb 2019

Oleh Norhayati Md Raji
Foto Norashikin Yusof

CHERAS, 19 Februari 2019 – Seramai 20 orang pelajar dan pensyarah daripada Cyber University Collage of Medical Sciences (CUCMS) dan University of Health And Welfare Niigata Japan telah hadir ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk melihat dengan lebih dekat perkhidmatan di Jabatan Perubatan Kecemasan dan Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan.

Objektif lawatan akademik para pelajar program ijazah dan diploma jurusan bidang kesihatan dalam medical sciences, psychology dan phsioterapy ini adalah untuk memberi pendedahan ilmu dan pengalaman berkaitan perkhidmatan ambulan, proses pengurusan kecemasan dan pengurusan pre hospital di Jabatan Perubatan Kecemasan, perkhidmatan fisioterapi untuk pesakit yang menghadapi masalah respiratori, jantung dan kumpulan pesakit khas wanita, diabetis serta hand therapy di Unit Fisioterapi Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan.

Lawatan akademik ini selesai pada jam 12.00 tengahari dan diakhiri dengan sesi fotografi beramai-ramai.

HCTM Jalankan Pembedahan Bariatrik Tertinggi di Malaysia Sejak 1996

13 Feb 2019

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

CHERAS, 18 Januari 2019 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melakukan lebih 1,200 pembedahan bariatric sejak tahun 1996,  jumlah tertinggi yang dicatatkan oleh hospital-hospital di Malaysia.

Pakar Gastrointestinal dan Pembedahan Obesiti, Prof Madya Dato’ Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood berkata, pada awalnya pembedahan ini dilakukan secara terbuka, tetapi sejak tahun 1990-an telah berlaku perubahan pembedahan terbuka kepada minimalize surgery (pembedahan laparoskopi) iaitu melalui tebukan lubang kecil sahaja.

“Jadi, dari tujuh ke lapan lubang, kemudian lima ke tiga lubang dan sekarang HCTM telah membuat pembedahan single incision laparoscopic surgery iaitu tebuk lubang melalui pusat sahaja.

“Pesakit mengalami luka pembedahan yang sangat kecil kerana hanya satu lubang sebesar 5mm sahaja yang ditebuk di pusat. Jadi masa untuk pesakit pulih dan kembali ke aktiviti normal termasuk kembali bekerja hanya satu minggu,”kata beliau.

Beliau berkata, pembedahan yang dilakukan itu adalah mengubah struktur perut (usus kecil) supaya dapat mengurangkan volume makanan atau minuman pesakit.

Katanya, pembedahan bariatric bukan sahaja untuk menghilangkan berat badan, malah dapat mengurangkan bebanan kencing manis.

“Dulu kita ingat pembedahan ini hanya untuk mengurangkan berat badan sahaja, tapi sekarang kita dapat lihat kalau pesakit yang ada masalah kencing manis, penyakit itu dapat dikawal dengan baik walaupun dalam dua hingga tiga hari selepas pembedahan.

“Sekarang kita dah tahu melalui pembedahan itu ada weight independent effect dimana tidak ada kena mengena dengan berat tetapi pembedahan tersebut dapat mengubah struktur horman dalam badan untuk meningkatkan incretin hormones. Hormon ini akan menyebabkan kawalan kencing manis lebih baik,” jelasnya.

Katanya, setakat ini, pesakit yang paling berat sekali yang pernah beliau dan pasukannya terima dan buat rawatan adalah lebih 300 kilogram (kg).

“Seorang dengan berat 350 kg dan seorang lagi dengan berat 330 kg. Alhamdulillah, pesakit yang berat 330 kg sekarang telah turun ke 144kg,” katanya.

Prof Madya Dato’ Dr Nik Ritza Kosai berkata, pembedahan itu hanya dilakukan sekali sahaja kerana ia adalah inisiatif permulaan bagi pesakit untuk mengurangkan berat badan yang lebih banyak.

“75 peratus daripada keseluruhan pakej bagaimana pesakit ini boleh hilang berat badan yang banyak adalah dalam jangka masa lama bergantung kepada pesakit sendiri. Jadi, pesakit perlu betul-betul motivated dan disiplin dengan pemakanan, di mana mereka digalakkan makan sedikit tetapi berulang kali.

“Mereka juga digalakkan untuk bersenam. Majoriti pesakit yang melakukan rawatan dan pembedahan ini suka dengan keadaan baru mereka kerana kualiti hidup semakin meningkat dan boleh buat pelbagai aktiviti. Hidup mereka berubah 360 darjah dari segi pemikiran, masalah perubatan yang mereka ada, dan juga keyakinan diri,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada ahli pasukannya iaitu Dr. Mustafa, Dr. Raynu, Dr. Aznan, dan Dr.Iman yang semuanya boleh melakukan pembedahan bariatrics secara sendiri.

“Mereka mempunyai pesakit-pesakit sendiri, tetapi kami bersatu di bawah satu bumbung di satu unit di HCTM,” katanya.

 

Lawatan Khidmat Masyarakat Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad

31 Jan 2019

Oleh Norhayati Md Raji
Foto Sabariah Abd Rahman

CHERAS, 31 Januari 2019 – Seramai 50 orang pesakit pediatrik di wad 4A, 4B  dan 4D Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM telah menerima ang pow dan barang permainan daripada Takaful Malaysia Berhad di bawah program tanggungjawab sosial korporat Takaful myJalinan Kasih yang bertemakan ‘Takaful Malaysia membawa keceriaan kepada pesakit pediatrik’ sempena Sambutan Tahun Baru Cina pada  bulan Februari 2019.

Sebagai warga korporat yang prihatin, seramai 8 orang wakil pengurusan Takaful Malaysia yang diketuai Encik Leem Why Chong, Deputy CEO Takaful Malaysia telah hadir dan turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 5,000.00 untuk Tabung Kebajikan Pesakit HCTM. Prof. Dr. Cheah Fook Choe, Ketua Jabatan Pediatrik telah mewakili pihak HCTM untuk menerima sumbangan tersebut bagi membantu pesakit HCTM yang kurang berkemampuan.

 

HCTM UKM Bersama MIASA Memeriahkan Lagi Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Pesakit Psikiatri

31 Jan 2019

Oleh Hafizah Mohamad Isa
Foto Noorashikin Yusof

CHERAS, 23 Januari 2019 – Jabatan Psikiatri, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) dengan kerjasama Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) telah mengadakan majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Pusat Psikiatri Komuniti dan Intervensi Psikososial, Jabatan Psikiatri HCTM UKM pada hari ini.

Sambutan ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran YAM Tengku Puteri Iman Afzan Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke majlis tersebut untuk bersama – sama meraikannya dengan para pesakit, keluarga pesakit, sukarelawan dan kakitangan HCTM. Turut bersama adalah Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM, Prof. Dr. Marhani Midin, Ketua Jabatan Psikiatri dan Puan Anita Abu Bakar Presiden MIASA.

Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, dalam ucapannya, telah mengalu-alukan kehadiran kerabat diraja Pahang ke majlis ini merupakan suatu penghormatan dan pengiktirafan kepada warga HCTM amnya dan warga Jabatan Psikiatri khasnya. Beliau berharap program seperti ini akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa serta sangat bangga dengan pihak MIASA yang diketuai oleh Puan Anita Abu Bakar.

Sementara, Prof. Dr. Marhani Midin dalam ucapannya berkata, keistimewaan program pada kali ini, ia dikendalikan oleh pesakit psikiatri HCTM itu sendiri. Sebelum ini, pesakit tidak bersedia untuk bergaul dengan masyarakat luar disebabkan faktor kesihatan mereka. Tetapi hari ini, kita dapat melihat sikap keterbukaan yang mereka pamerkan, hasil kerjasama dan keakraban yang terjalin antara kakitangan Jabatan Psikiatri dan MIASA.

Para tetamu jemputan dihidangkan dengan beberapa persembahan oleh pesakit, penyampaian cenderamata, cabutan bertuah dan jamuan ringan sempena sambutan tahun baharu cina. Program seperti ini juga telah berjaya menyatukan golongan ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan.

YAM Tengku Puteri Iman Afzan diiringi Pengarah HCTM seterusnya melawat ke wad – wad psikiatri untuk bertemu dengan pesakit yang menerima rawatan di HCTM.

Jabatan Psikiatrik yang diketuai oleh Prof. Dr. Marhani Midin terdiri daripada sepuluh Pakar Psikiatri serta (2) dua Pakar Klinikal Psikologi yang terlibat secara aktif menyumbangkan tenaga dan khidmat bakti untuk memberikan perawatan yang terbaik kepada pesakit-pesakit Psikiatri dan merupakan hospital pertama di Malaysia yang mengamalkan rawatan pesakit Psikiatri di dalam Wad secara Wad Terbuka.

Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM Menerima Lawatan Rasmi Pengerusi UKM Sebagai Pembukaan Tirai Tahun Baharu 2019

23 Jan 2019

Oleh Noorlaily Abd. Rahim
Foto Hafizah Mohamad Isa

CHERAS, 23 Januari 2019 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM telah menerima lawatan rasmi YBhg. Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi UKM pada hari ini. Kehadiran beliau telah disambut oleh Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM dan pengurusan KKL serta pengurusan HCTM di Bilik Mesyuarat Lembaga, Aras 1, Kompleks Pendidikan Perubatan Tuanku Jaafar pada jam 2.30 petang.

Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM telah memberikan ucapan aluan dan Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM memberi taklimat mengenai perjalanan dan operasi Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Dato’ Hanafiah juga memaklumkan kejayaan-kejayaaan warga HCTM berdasarkan kepakaran melalui keratan akhbar dan perancangan-perancangan HCTM seperti kolaborasi bersama Universiti Oxford dalam bidang kesuburan, projek Go Green, keceriaan lobi, serta penjanaan pendapatan melalui wad eksekutif dan sewaan ruang.

Pertemuan dan perbincangan di Bilik Mesyuarat Lembaga diakhiri dengan sesi soal jawab. Pengerusi UKM kemudiannya diiringi oleh pengurusan Kampus Kuala Lumpur dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz membuat lawatan ke Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, Wad Eksekutif, dan Advanced Surgical Skills Centre (ASSC).

Pakar Perubatan UKM Pelopori Rawatan Arthritis Lutut Guna Sel Stem Mesenkima

17 Jan 2019

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 6 Disember 2018 – Pasukan pakar bedah ortopedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Pensyarah Kanan dan Pakar Ortopedik & Arthroskopi, Dato’ Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff telah berjaya mempelopori rawatan arthritis lutut menggunakan sel stem mesenkima yang diperoleh daripada tali pusat.

Kajian sejak tahun 2016 itu membabitkan rawan sendi terbentuk semula sepenuhnya selepas setahun walaupun permukaannya tidak selicin sendi rawan asal, tanpa tanda kesan sampingan.

Dato’ Dr Badrul Akmal Hisham berkata, tali pusat yang digunakan untuk rawatan tersebut adalah tali pusat yang didermakan oleh pesakit yang telah melalui saringan dan ujian darah yang tertentu bagi memastikan tisu yang diperoleh mengikut piawaian yang ditetapkan dan disahkan selamat.

“Sel stem itu akan dikulturkan dan dibiakkan di dalam makmal yang disertifikasi oleh Agensi Pengawalan Famaseutikal Kebangsaan. Sel-sel tersebut kemudiannya dibawa ke HCTM untuk di masukkan ke dalam sendi lutut pesakit menggunakan kaedah intra-articular injection,” katanya.

Beliau berkata, semua pesakit dalam kajian tersebut telah menunjukkan peningkatan positif yang signifikan seawal bulan ketiga dan tidak menunjukkan tanda-tanda kesan sampingan atau permasalahan sepanjang tempoh kajian dilakukan.

“Pasukan kami bersama sebuah syarikat swasta iaitu Cytopeutics Sdn Bhd telah menyaring pesakit terlebih dahulu dan menjalankan pemeriksaan dan uji kaji makmal serta pengimejan sebelum pembedahan artoskopi lutut dilakukan.

“Sel stem akan dimasukkan ke dalam sendi lutut dan pesakit dikehendaki menjalani rawatan susulan selama 12 bulan.

“Keseluruhan proses ini disahkan sebagai patuh syariah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ,” jelasnya.

Ujar Dato’ Dr Badrul Akmal Hisham, sebagai penyelidikan translasi klinikal yang pertama yang menggunakan sel stem alogenik ke atas pesakit dalam bidang Ortopedik di HCTM, ia telah mengorak langkah untuk lebih banyak lagi kajian klinikal seumpamanya dijalankan memandangkan aspek kesesuaian, keselamatan serta tanpa kesan mudarat telah dikenal pasti daripada hasil pemerhatian.

“Kita telah membentangkan hasil kajian ini di persidangan antarabangsa International Cartilage Repair and Regeneration Society (ICRS) Focus Meeting di Milan, Itali pada 13 dan 14 Disember tahun lalu bertemakan “I am not ready for metal“. Lebih 400 peserta dari 46 negara telah menghadiri persidangan ini.

“Kejayaan UKM membentangkan satu-satunya penyelidikan klinikal dari Malaysia amat menggembirakan pihak ICRS. Mereke meneliti perkembangan dan perkongsian hasil kajian terkini di Malaysia dan seterusnya menjemput UKM bagi menyertai rangkaian antarabangsa kumpulan penyelidik rawan artikular dan sel stem,” ujar beliau.

 

1 5 6 7

Search

+