Tahniah Prof. Dr. Mohd. Razif Mohammad Yunus, Jabatan Otorinolaringologi

24 Apr 2019

 

Tahniah kepada YBhg. Prof. Dr. Mohd. Razif Mohammad Yunus, Pakar Perunding Kanan, Jabatan Otorinolaringologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM kerana telah lantik sebagai President Elect dan Organizing Chairman 7th Asian Society of Head and Neck Oncology Conference yang akan diadakan pada 3 – 5 Jun 2021 di Shangri La Hotel Kuala Lumpur.

Buat pertama kalinya Malaysia terpilih dimana lebih dari 30 negara menyertainya termasuk negara Jepun, Korea, Taiwan, Australia, New Zealand, Negara Arab dan negara Asia lain.

Persidangan ini diadakan 2 tahun sekali. Terdahulu Seoul, Korea telah dipilih menjadi tuan rumah bagi tahun 2019.

 

 

HCTM Jalankan Pembedahan Bariatrik Tertinggi di Malaysia Sejak 1996

13 Feb 2019

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

CHERAS, 18 Januari 2019 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melakukan lebih 1,200 pembedahan bariatric sejak tahun 1996,  jumlah tertinggi yang dicatatkan oleh hospital-hospital di Malaysia.

Pakar Gastrointestinal dan Pembedahan Obesiti, Prof Madya Dato’ Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood berkata, pada awalnya pembedahan ini dilakukan secara terbuka, tetapi sejak tahun 1990-an telah berlaku perubahan pembedahan terbuka kepada minimalize surgery (pembedahan laparoskopi) iaitu melalui tebukan lubang kecil sahaja.

“Jadi, dari tujuh ke lapan lubang, kemudian lima ke tiga lubang dan sekarang HCTM telah membuat pembedahan single incision laparoscopic surgery iaitu tebuk lubang melalui pusat sahaja.

“Pesakit mengalami luka pembedahan yang sangat kecil kerana hanya satu lubang sebesar 5mm sahaja yang ditebuk di pusat. Jadi masa untuk pesakit pulih dan kembali ke aktiviti normal termasuk kembali bekerja hanya satu minggu,”kata beliau.

Beliau berkata, pembedahan yang dilakukan itu adalah mengubah struktur perut (usus kecil) supaya dapat mengurangkan volume makanan atau minuman pesakit.

Katanya, pembedahan bariatric bukan sahaja untuk menghilangkan berat badan, malah dapat mengurangkan bebanan kencing manis.

“Dulu kita ingat pembedahan ini hanya untuk mengurangkan berat badan sahaja, tapi sekarang kita dapat lihat kalau pesakit yang ada masalah kencing manis, penyakit itu dapat dikawal dengan baik walaupun dalam dua hingga tiga hari selepas pembedahan.

“Sekarang kita dah tahu melalui pembedahan itu ada weight independent effect dimana tidak ada kena mengena dengan berat tetapi pembedahan tersebut dapat mengubah struktur horman dalam badan untuk meningkatkan incretin hormones. Hormon ini akan menyebabkan kawalan kencing manis lebih baik,” jelasnya.

Katanya, setakat ini, pesakit yang paling berat sekali yang pernah beliau dan pasukannya terima dan buat rawatan adalah lebih 300 kilogram (kg).

“Seorang dengan berat 350 kg dan seorang lagi dengan berat 330 kg. Alhamdulillah, pesakit yang berat 330 kg sekarang telah turun ke 144kg,” katanya.

Prof Madya Dato’ Dr Nik Ritza Kosai berkata, pembedahan itu hanya dilakukan sekali sahaja kerana ia adalah inisiatif permulaan bagi pesakit untuk mengurangkan berat badan yang lebih banyak.

“75 peratus daripada keseluruhan pakej bagaimana pesakit ini boleh hilang berat badan yang banyak adalah dalam jangka masa lama bergantung kepada pesakit sendiri. Jadi, pesakit perlu betul-betul motivated dan disiplin dengan pemakanan, di mana mereka digalakkan makan sedikit tetapi berulang kali.

“Mereka juga digalakkan untuk bersenam. Majoriti pesakit yang melakukan rawatan dan pembedahan ini suka dengan keadaan baru mereka kerana kualiti hidup semakin meningkat dan boleh buat pelbagai aktiviti. Hidup mereka berubah 360 darjah dari segi pemikiran, masalah perubatan yang mereka ada, dan juga keyakinan diri,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada ahli pasukannya iaitu Dr. Mustafa, Dr. Raynu, Dr. Aznan, dan Dr.Iman yang semuanya boleh melakukan pembedahan bariatrics secara sendiri.

“Mereka mempunyai pesakit-pesakit sendiri, tetapi kami bersatu di bawah satu bumbung di satu unit di HCTM,” katanya.

 

Pakar Perubatan UKM Pelopori Rawatan Arthritis Lutut Guna Sel Stem Mesenkima

17 Jan 2019

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 6 Disember 2018 – Pasukan pakar bedah ortopedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Pensyarah Kanan dan Pakar Ortopedik & Arthroskopi, Dato’ Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff telah berjaya mempelopori rawatan arthritis lutut menggunakan sel stem mesenkima yang diperoleh daripada tali pusat.

Kajian sejak tahun 2016 itu membabitkan rawan sendi terbentuk semula sepenuhnya selepas setahun walaupun permukaannya tidak selicin sendi rawan asal, tanpa tanda kesan sampingan.

Dato’ Dr Badrul Akmal Hisham berkata, tali pusat yang digunakan untuk rawatan tersebut adalah tali pusat yang didermakan oleh pesakit yang telah melalui saringan dan ujian darah yang tertentu bagi memastikan tisu yang diperoleh mengikut piawaian yang ditetapkan dan disahkan selamat.

“Sel stem itu akan dikulturkan dan dibiakkan di dalam makmal yang disertifikasi oleh Agensi Pengawalan Famaseutikal Kebangsaan. Sel-sel tersebut kemudiannya dibawa ke HCTM untuk di masukkan ke dalam sendi lutut pesakit menggunakan kaedah intra-articular injection,” katanya.

Beliau berkata, semua pesakit dalam kajian tersebut telah menunjukkan peningkatan positif yang signifikan seawal bulan ketiga dan tidak menunjukkan tanda-tanda kesan sampingan atau permasalahan sepanjang tempoh kajian dilakukan.

“Pasukan kami bersama sebuah syarikat swasta iaitu Cytopeutics Sdn Bhd telah menyaring pesakit terlebih dahulu dan menjalankan pemeriksaan dan uji kaji makmal serta pengimejan sebelum pembedahan artoskopi lutut dilakukan.

“Sel stem akan dimasukkan ke dalam sendi lutut dan pesakit dikehendaki menjalani rawatan susulan selama 12 bulan.

“Keseluruhan proses ini disahkan sebagai patuh syariah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ,” jelasnya.

Ujar Dato’ Dr Badrul Akmal Hisham, sebagai penyelidikan translasi klinikal yang pertama yang menggunakan sel stem alogenik ke atas pesakit dalam bidang Ortopedik di HCTM, ia telah mengorak langkah untuk lebih banyak lagi kajian klinikal seumpamanya dijalankan memandangkan aspek kesesuaian, keselamatan serta tanpa kesan mudarat telah dikenal pasti daripada hasil pemerhatian.

“Kita telah membentangkan hasil kajian ini di persidangan antarabangsa International Cartilage Repair and Regeneration Society (ICRS) Focus Meeting di Milan, Itali pada 13 dan 14 Disember tahun lalu bertemakan “I am not ready for metal“. Lebih 400 peserta dari 46 negara telah menghadiri persidangan ini.

“Kejayaan UKM membentangkan satu-satunya penyelidikan klinikal dari Malaysia amat menggembirakan pihak ICRS. Mereke meneliti perkembangan dan perkongsian hasil kajian terkini di Malaysia dan seterusnya menjemput UKM bagi menyertai rangkaian antarabangsa kumpulan penyelidik rawan artikular dan sel stem,” ujar beliau.

 

1 2

Search

+