HCTM Terima RM200,000 daripada MAIWP

29 May 2019

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 16 Mei 2019 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Kampus Kuala Lumpur Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan sebanyak RM200,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu pesakit-pesakit yang memerlukan.

Sumbangan itu telah disempurnakan oleh DYMM Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, untuk tahun ini jumlah yang diperuntukan MAIWP untuk sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan adalah bernilai RM1.25 juta melibatkan 14 hospital dan pusat perubatan.

“Menyediakan perkhidmatan perubatan dan kesihatan adalah satu tuntutan agama ke atas masyarakat iaitu fardhu kifayah yang perlu disempurnakan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam ilmu perubatan.

“Oleh itu, telah menjadi tanggungjawab mereka untuk memberi bantuan dan perkhidmatan yang terbaik dan sewajarnya kepda pesakit,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pengurniaan Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan di HCTM baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, UKM telah menjalankan pelbagai usaha dalam membantu pesakit-pesakit yang memerlukan dan amat mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak.

“Sejak tahun 2002, MAIWP telah memberi sumbangan kepada HCTM sebanyak RM3,992,825 yang dapat membantu kira-kira 1,500 orang pesakit.

“Sumbangan itu disalurkan untuk membiayai kos alat bantu pemulihan pesakit seperti kerusi roda, oxygen concentrator, suction pump, ripple matress, serta membiayai kos ubat-ubatan dan peralatan implant,” ujarnya.

14 hospital dan pusat perubatan itu menerima sumbangan antara RM50,000 hingga RM200,000. Antaranya ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya, Majlis Kanser Nasional, Institut Jantung Negara dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia.

Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut meluangkan masa melawat wad kanak-kanak dan memberi sumbangan duit raya serta hamper kepada kanak-kanak di wad tersebut.

Turut hadir ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

HCTM dipilih sebagai lokasi penggambaran drama ”Curi Curi Cinta”

20 Mar 2019

Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) telah di pilih sebagai lokasi penggambaran drama 28 episod ”Curi Curi Cinta” arahan pengarah tersohor iaitu Raja Ahmad Alauddin dari SR One Sdn Bhd.

Seramai 25 orang krew terlibat untuk menjalankan penggambaran selama 3 hari bermula 13 Mac sehingga 15 Mac 2019. Penggambaran bermula pada jam 9 pagi sehingga lewat malam.

Barisan para pelakon yang terlibat ialah Zahirah Mc Wilson, Aiman Hakim, Fauziah Nawi, Uyaina Arshad, Adam Lee dan Talha Harith.

 

Disediakan oleh:

Puan Yasmin Rahimi
Pengurus Pembangunan Korporat HCTM

MAKLUMAN: KADAR CAJ PARKIR AWAM HCTM

5 Mar 2019

Metro Parking (M) Sdn. Bhd melalui surat bertarikh 4 Mac 2019 bersetuju kadar baharu caj Parkir Awam HCTM adalah seperti berikut:

KADAR CAJ PARKIR
RM2.00 Sejam pertama atau sebahagiannya
RM2.00 Jam berikutnya atau sebahagiannya
RM6.00 Sekali masuk (7.00pm – 6.30am:  Isnin – Ahad)

 

KADAR CAJ VALET PARKIR
RM15.00 Tiga (3) jam pertama atau sebahagiannya
RM5.00 Jam berikutnya atau sebahagiannya

Untuk makluman pengguna, pihak Syarikat perlu memprogramkan semula kadar melalui sistem sedia ada. Kadar baharu akan dilaksanakan dalam tempoh 48 jam.

 

Pengurusan HCTM
5 Mac 2019

HCTM Jalankan Pembedahan Bariatrik Tertinggi di Malaysia Sejak 1996

13 Feb 2019

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

CHERAS, 18 Januari 2019 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melakukan lebih 1,200 pembedahan bariatric sejak tahun 1996,  jumlah tertinggi yang dicatatkan oleh hospital-hospital di Malaysia.

Pakar Gastrointestinal dan Pembedahan Obesiti, Prof Madya Dato’ Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood berkata, pada awalnya pembedahan ini dilakukan secara terbuka, tetapi sejak tahun 1990-an telah berlaku perubahan pembedahan terbuka kepada minimalize surgery (pembedahan laparoskopi) iaitu melalui tebukan lubang kecil sahaja.

“Jadi, dari tujuh ke lapan lubang, kemudian lima ke tiga lubang dan sekarang HCTM telah membuat pembedahan single incision laparoscopic surgery iaitu tebuk lubang melalui pusat sahaja.

“Pesakit mengalami luka pembedahan yang sangat kecil kerana hanya satu lubang sebesar 5mm sahaja yang ditebuk di pusat. Jadi masa untuk pesakit pulih dan kembali ke aktiviti normal termasuk kembali bekerja hanya satu minggu,”kata beliau.

Beliau berkata, pembedahan yang dilakukan itu adalah mengubah struktur perut (usus kecil) supaya dapat mengurangkan volume makanan atau minuman pesakit.

Katanya, pembedahan bariatric bukan sahaja untuk menghilangkan berat badan, malah dapat mengurangkan bebanan kencing manis.

“Dulu kita ingat pembedahan ini hanya untuk mengurangkan berat badan sahaja, tapi sekarang kita dapat lihat kalau pesakit yang ada masalah kencing manis, penyakit itu dapat dikawal dengan baik walaupun dalam dua hingga tiga hari selepas pembedahan.

“Sekarang kita dah tahu melalui pembedahan itu ada weight independent effect dimana tidak ada kena mengena dengan berat tetapi pembedahan tersebut dapat mengubah struktur horman dalam badan untuk meningkatkan incretin hormones. Hormon ini akan menyebabkan kawalan kencing manis lebih baik,” jelasnya.

Katanya, setakat ini, pesakit yang paling berat sekali yang pernah beliau dan pasukannya terima dan buat rawatan adalah lebih 300 kilogram (kg).

“Seorang dengan berat 350 kg dan seorang lagi dengan berat 330 kg. Alhamdulillah, pesakit yang berat 330 kg sekarang telah turun ke 144kg,” katanya.

Prof Madya Dato’ Dr Nik Ritza Kosai berkata, pembedahan itu hanya dilakukan sekali sahaja kerana ia adalah inisiatif permulaan bagi pesakit untuk mengurangkan berat badan yang lebih banyak.

“75 peratus daripada keseluruhan pakej bagaimana pesakit ini boleh hilang berat badan yang banyak adalah dalam jangka masa lama bergantung kepada pesakit sendiri. Jadi, pesakit perlu betul-betul motivated dan disiplin dengan pemakanan, di mana mereka digalakkan makan sedikit tetapi berulang kali.

“Mereka juga digalakkan untuk bersenam. Majoriti pesakit yang melakukan rawatan dan pembedahan ini suka dengan keadaan baru mereka kerana kualiti hidup semakin meningkat dan boleh buat pelbagai aktiviti. Hidup mereka berubah 360 darjah dari segi pemikiran, masalah perubatan yang mereka ada, dan juga keyakinan diri,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada ahli pasukannya iaitu Dr. Mustafa, Dr. Raynu, Dr. Aznan, dan Dr.Iman yang semuanya boleh melakukan pembedahan bariatrics secara sendiri.

“Mereka mempunyai pesakit-pesakit sendiri, tetapi kami bersatu di bawah satu bumbung di satu unit di HCTM,” katanya.

 

Pakar Perubatan UKM Pelopori Rawatan Arthritis Lutut Guna Sel Stem Mesenkima

17 Jan 2019

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 6 Disember 2018 – Pasukan pakar bedah ortopedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Pensyarah Kanan dan Pakar Ortopedik & Arthroskopi, Dato’ Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff telah berjaya mempelopori rawatan arthritis lutut menggunakan sel stem mesenkima yang diperoleh daripada tali pusat.

Kajian sejak tahun 2016 itu membabitkan rawan sendi terbentuk semula sepenuhnya selepas setahun walaupun permukaannya tidak selicin sendi rawan asal, tanpa tanda kesan sampingan.

Dato’ Dr Badrul Akmal Hisham berkata, tali pusat yang digunakan untuk rawatan tersebut adalah tali pusat yang didermakan oleh pesakit yang telah melalui saringan dan ujian darah yang tertentu bagi memastikan tisu yang diperoleh mengikut piawaian yang ditetapkan dan disahkan selamat.

“Sel stem itu akan dikulturkan dan dibiakkan di dalam makmal yang disertifikasi oleh Agensi Pengawalan Famaseutikal Kebangsaan. Sel-sel tersebut kemudiannya dibawa ke HCTM untuk di masukkan ke dalam sendi lutut pesakit menggunakan kaedah intra-articular injection,” katanya.

Beliau berkata, semua pesakit dalam kajian tersebut telah menunjukkan peningkatan positif yang signifikan seawal bulan ketiga dan tidak menunjukkan tanda-tanda kesan sampingan atau permasalahan sepanjang tempoh kajian dilakukan.

“Pasukan kami bersama sebuah syarikat swasta iaitu Cytopeutics Sdn Bhd telah menyaring pesakit terlebih dahulu dan menjalankan pemeriksaan dan uji kaji makmal serta pengimejan sebelum pembedahan artoskopi lutut dilakukan.

“Sel stem akan dimasukkan ke dalam sendi lutut dan pesakit dikehendaki menjalani rawatan susulan selama 12 bulan.

“Keseluruhan proses ini disahkan sebagai patuh syariah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ,” jelasnya.

Ujar Dato’ Dr Badrul Akmal Hisham, sebagai penyelidikan translasi klinikal yang pertama yang menggunakan sel stem alogenik ke atas pesakit dalam bidang Ortopedik di HCTM, ia telah mengorak langkah untuk lebih banyak lagi kajian klinikal seumpamanya dijalankan memandangkan aspek kesesuaian, keselamatan serta tanpa kesan mudarat telah dikenal pasti daripada hasil pemerhatian.

“Kita telah membentangkan hasil kajian ini di persidangan antarabangsa International Cartilage Repair and Regeneration Society (ICRS) Focus Meeting di Milan, Itali pada 13 dan 14 Disember tahun lalu bertemakan “I am not ready for metal“. Lebih 400 peserta dari 46 negara telah menghadiri persidangan ini.

“Kejayaan UKM membentangkan satu-satunya penyelidikan klinikal dari Malaysia amat menggembirakan pihak ICRS. Mereke meneliti perkembangan dan perkongsian hasil kajian terkini di Malaysia dan seterusnya menjemput UKM bagi menyertai rangkaian antarabangsa kumpulan penyelidik rawan artikular dan sel stem,” ujar beliau.

 

1 2 3 12

Search

+
Font Resize
Contrast