Sambutan Hari Strok Sedunia 2019

30 Okt 2019

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Noorashikin Yusof

CHERAS, 29 Oktober 2019 – Seramai 170 orang tetamu yang terdiri daripada bekas pesakit strok, waris dan warga KKL telah menghadiri Majlis Sambutan Hari Strok Sedunia 2019 dengan bertemakan ‘Life After Stroke’. Program ini merupakan anjuran Unit Neurologi, Jabatan Perubatan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan.

Majlis dirasmikan oleh wakil Pengarah HCTM, Prof. Dr. Halim Abdul Gafor, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM. Turut hadir dalam majlis, Prof. Madya Dr. Norlaila Mustafa, Ketua Jabatan Perubatan HCTM, Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Strok Sedunia 2019, Encik Pallahuddin Abd Ghani dan Pengerusi Kelab Komuniti Ahli Strok Impikan Harapan (Kekasih).

Objektif penganjuran adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penyakit strok, langkah-langkah pencegahan, dan rawatan kepada pesakit. Dianggarkan lebih kurang 700 orang pesakit strok mendapatkan rawatan di HCTM setiap tahun. Maklumat terbaru daripada World Stroke Organization menyatakan setiap satu daripada empat individu akan mengalami strok dalam tempoh hayat mereka. Di Malaysia, berdasarkan maklumat di Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan strok adalah penyebab kematian ketiga di Malaysia selepas penyakit jantung dan jangkitan paru-paru. Namun begitu, sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan yang ketara pesakit strok dalam lingkungan usia 35-45 tahun. Langkah dan kesedaran awal amat penting untuk mengurangkan peningkatan pesakit strok.

Antara program yang disusun dalam program ini ialah ceramah mengenai pengenalan dan sejarah Unit Neurologi, maklumat Perkhidmatan Thrombolysis Stroke, sesi perkongsian pengalaman bekas pesakit strok dan waris pesakit, ceramah panduan membaca dan memahami label makanan.

Persidangan Kebangsaan Program Keberkesanan Big Data Di Peringkat Hospital Pengajar Universiti

22 Okt 2019

Oleh: Fauzana Binti Hamid
Foto: Hang Jebat Mukthtar Affandi

Putrajaya, 16 Oktober 2019 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM menjadi tuan rumah kepada Persidangan Kebangsaan Pusat Perubatan Akademik Kali Ke-2 di bawah Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) dengan bertemakan ‘Pendekatan Data Dalam Memacu Pengurusan Hospital’. Persidangan berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober 2019 di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada wakil-wakil hospital pengajar, universiti awam dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah hadir ke persidangan ini.

Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin wakil Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia. Berucap dalam majlis, beliau berkata penganjuran persidangan ini adalah sangat penting diadakan setiap tahun bagi membolehkan perkongsian pengetahuan dan pengalaman di kalangan peserta mengenai Best Practice in a Hospital Management. Para peserta juga dapat bertukar-tukar idea, maklumat, pengetahuan dan pengalaman dalam pelaksanaan pengumpulan dan kaedah menganalisa data yang secara tidak langsung dapat melancarkan kelangsungan operasi perkhidmatan di Hospital Pengajar. Beliau juga berharap program dapat memberi manfaat dan maklumat yang berguna kepada semua peserta yang hadir.

Turut hadir dalam majlis YBhg. Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, YBhg. Prof. Dr. Ahmad Hafiz Zulkifly, wakil Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg. Ar. Saifuddin Ahmad, ahli Lembaga Pengurusan Universiti Malaya, YM. Prof. Dr. Tuanku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin, Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya, yang juga merangkap sebagai Pengerusi KHUAM, dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM. Selain itu, wakil daripada Singhealth dan Temasek International Foundation juga hadir untuk menjalankan kerjasama antarabangsa bersama hospital pengajar.

 

Rumah Ronald McDonald Pertama di Asia Sambut Ulangtahun Ke-20

29 Ogo 2019

 

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 27 Ogos 2019 – Rumah Ronald McDonald (RRM) yang pertama di Asia, yang terletak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyambut ulang tahun ke-20 baru-baru ini.

Sambutan ulang tahun itu telah diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Apa yang menariknya ialah pada 20 tahun lepas, Tun Dr Siti Hasmah adalah tetamu kehormat yang hadir membuat penyerahan RRM kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (kini disebut HCTM).

Dalam ucapannya, Tun Dr Siti Hasmah berkata, beliau amat berbangga dengan komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) dan HCTM dalam usaha membantu keluarga pesakit pediatrik untuk berada dekat dengan anak-anak yang menjalani rawatan.

“Jangka masa 20 tahun bukanlah tempoh singkat. Saya terharu dengan komitmen dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak untuk memastikan kemudahan seperti ini dapat dikekalkan.

“Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama ibu bapa dan pesakit untuk sambutan kali ini… Kita perlulah berjuta-juta kali bersyukur kerana masih ada golongan yang memikirkan untuk membantu keluarga yang tidak bernasib baik,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ke-20 RRM-HCTM, baru-baru ini.

Katanya, syarikat korporat perlu lebih banyak memberi sumbangan dalam menyediakan rumah penginapan di hospital bagi meringankan beban keluarga pesakit yang menjalani rawatan.

“Saya berterima kasih kepada pihak yang sanggup menyediakan kemudahan ini tanpa penat dan lelah kerana usaha ini boleh mendatangkan manfaat dan keselesaan kepada mereka yang sakit.

“Ibu bapa juga perlu bersyukur kerana ada golongan seperti ini yang sudi memberi khidmat ketika keluarga berusaha untuk mendapatkan rawatan bagi membolehkan anak mereka sihat kembali,” katanya.

Sementara itu, Pro Naib Canselor UKM Kampus Kuala Lumpur, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal berkata, RRM menyediakan penginapan beserta fasiliti dan kemudahan asas kepada penghuni dengan kadar bayaran yang sangat minima.

“Selain RRM, HCTM juga menyediakan Rumah Perantaraan Seri Labuan (RPSL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang menyediakan sebanyak sembilan buah rumah di Bandar Tun Razak.

“Bezanya, RRM adalah untuk pesakit pediatrik manakala RPSL boleh dipohon oleh semua kategori pesakit,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana RRM HCTM adalah rumah penginapan pertama seumpamanya di Asia dan telah kekal sehingga kini serta menjadi satu nilai tambah dalam perkhidmatan yang disediakan oleh HCTM.

RRM HCTM ditubuhkan pada tahun 1999 oleh RMHC Malaysia dengan tujuan untuk meringankan beban keluarga pesakit pediatrik yang dirawat di HCTM-UKM dan hospital-hospital berdekatan.

Sejak ditubuhkan, seramai 1,300 pesakit pediatrik yang menjalani rawatan di HCTM-UKM sudah menginap di kediaman tersebut.

Bayaran penginapan dikenakan hanyalah RM5 untuk satu malam dan mampu memuatkan 19 keluarga pada satu-satu masa dengan pelbagai kemudahan disediakan.

 

Search

+