Sambutan Hari Strok Sedunia 2019

30 Oct 2019

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Noorashikin Yusof

CHERAS, 29 Oktober 2019 – Seramai 170 orang tetamu yang terdiri daripada bekas pesakit strok, waris dan warga KKL telah menghadiri Majlis Sambutan Hari Strok Sedunia 2019 dengan bertemakan ‘Life After Stroke’. Program ini merupakan anjuran Unit Neurologi, Jabatan Perubatan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan.

Majlis dirasmikan oleh wakil Pengarah HCTM, Prof. Dr. Halim Abdul Gafor, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM. Turut hadir dalam majlis, Prof. Madya Dr. Norlaila Mustafa, Ketua Jabatan Perubatan HCTM, Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Strok Sedunia 2019, Encik Pallahuddin Abd Ghani dan Pengerusi Kelab Komuniti Ahli Strok Impikan Harapan (Kekasih).

Objektif penganjuran adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penyakit strok, langkah-langkah pencegahan, dan rawatan kepada pesakit. Dianggarkan lebih kurang 700 orang pesakit strok mendapatkan rawatan di HCTM setiap tahun. Maklumat terbaru daripada World Stroke Organization menyatakan setiap satu daripada empat individu akan mengalami strok dalam tempoh hayat mereka. Di Malaysia, berdasarkan maklumat di Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan strok adalah penyebab kematian ketiga di Malaysia selepas penyakit jantung dan jangkitan paru-paru. Namun begitu, sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan yang ketara pesakit strok dalam lingkungan usia 35-45 tahun. Langkah dan kesedaran awal amat penting untuk mengurangkan peningkatan pesakit strok.

Antara program yang disusun dalam program ini ialah ceramah mengenai pengenalan dan sejarah Unit Neurologi, maklumat Perkhidmatan Thrombolysis Stroke, sesi perkongsian pengalaman bekas pesakit strok dan waris pesakit, ceramah panduan membaca dan memahami label makanan.

Persidangan Kebangsaan Program Keberkesanan Big Data Di Peringkat Hospital Pengajar Universiti

22 Oct 2019

Oleh: Fauzana Binti Hamid
Foto: Hang Jebat Mukthtar Affandi

Putrajaya, 16 Oktober 2019 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM menjadi tuan rumah kepada Persidangan Kebangsaan Pusat Perubatan Akademik Kali Ke-2 di bawah Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) dengan bertemakan ‘Pendekatan Data Dalam Memacu Pengurusan Hospital’. Persidangan berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober 2019 di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada wakil-wakil hospital pengajar, universiti awam dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah hadir ke persidangan ini.

Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin wakil Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia. Berucap dalam majlis, beliau berkata penganjuran persidangan ini adalah sangat penting diadakan setiap tahun bagi membolehkan perkongsian pengetahuan dan pengalaman di kalangan peserta mengenai Best Practice in a Hospital Management. Para peserta juga dapat bertukar-tukar idea, maklumat, pengetahuan dan pengalaman dalam pelaksanaan pengumpulan dan kaedah menganalisa data yang secara tidak langsung dapat melancarkan kelangsungan operasi perkhidmatan di Hospital Pengajar. Beliau juga berharap program dapat memberi manfaat dan maklumat yang berguna kepada semua peserta yang hadir.

Turut hadir dalam majlis YBhg. Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, YBhg. Prof. Dr. Ahmad Hafiz Zulkifly, wakil Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg. Ar. Saifuddin Ahmad, ahli Lembaga Pengurusan Universiti Malaya, YM. Prof. Dr. Tuanku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin, Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya, yang juga merangkap sebagai Pengerusi KHUAM, dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM. Selain itu, wakil daripada Singhealth dan Temasek International Foundation juga hadir untuk menjalankan kerjasama antarabangsa bersama hospital pengajar.

 

Rumah Ronald McDonald Pertama di Asia Sambut Ulangtahun Ke-20

29 Aug 2019

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 27 Ogos 2019 – Rumah Ronald McDonald (RRM) yang pertama di Asia, yang terletak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyambut ulang tahun ke-20 baru-baru ini.

Sambutan ulang tahun itu telah diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Apa yang menariknya ialah pada 20 tahun lepas, Tun Dr Siti Hasmah adalah tetamu kehormat yang hadir membuat penyerahan RRM kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (kini disebut HCTM).

Dalam ucapannya, Tun Dr Siti Hasmah berkata, beliau amat berbangga dengan komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) dan HCTM dalam usaha membantu keluarga pesakit pediatrik untuk berada dekat dengan anak-anak yang menjalani rawatan.

“Jangka masa 20 tahun bukanlah tempoh singkat. Saya terharu dengan komitmen dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak untuk memastikan kemudahan seperti ini dapat dikekalkan.

“Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama ibu bapa dan pesakit untuk sambutan kali ini… Kita perlulah berjuta-juta kali bersyukur kerana masih ada golongan yang memikirkan untuk membantu keluarga yang tidak bernasib baik,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ke-20 RRM-HCTM, baru-baru ini.

Katanya, syarikat korporat perlu lebih banyak memberi sumbangan dalam menyediakan rumah penginapan di hospital bagi meringankan beban keluarga pesakit yang menjalani rawatan.

“Saya berterima kasih kepada pihak yang sanggup menyediakan kemudahan ini tanpa penat dan lelah kerana usaha ini boleh mendatangkan manfaat dan keselesaan kepada mereka yang sakit.

“Ibu bapa juga perlu bersyukur kerana ada golongan seperti ini yang sudi memberi khidmat ketika keluarga berusaha untuk mendapatkan rawatan bagi membolehkan anak mereka sihat kembali,” katanya.

Sementara itu, Pro Naib Canselor UKM Kampus Kuala Lumpur, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal berkata, RRM menyediakan penginapan beserta fasiliti dan kemudahan asas kepada penghuni dengan kadar bayaran yang sangat minima.

“Selain RRM, HCTM juga menyediakan Rumah Perantaraan Seri Labuan (RPSL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang menyediakan sebanyak sembilan buah rumah di Bandar Tun Razak.

“Bezanya, RRM adalah untuk pesakit pediatrik manakala RPSL boleh dipohon oleh semua kategori pesakit,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana RRM HCTM adalah rumah penginapan pertama seumpamanya di Asia dan telah kekal sehingga kini serta menjadi satu nilai tambah dalam perkhidmatan yang disediakan oleh HCTM.

RRM HCTM ditubuhkan pada tahun 1999 oleh RMHC Malaysia dengan tujuan untuk meringankan beban keluarga pesakit pediatrik yang dirawat di HCTM-UKM dan hospital-hospital berdekatan.

Sejak ditubuhkan, seramai 1,300 pesakit pediatrik yang menjalani rawatan di HCTM-UKM sudah menginap di kediaman tersebut.

Bayaran penginapan dikenakan hanyalah RM5 untuk satu malam dan mampu memuatkan 19 keluarga pada satu-satu masa dengan pelbagai kemudahan disediakan.

 

PROGRAM: Majlis Menandatangani MoA UKM dan Cytopeutics Sdn Bhd

31 Oct 2018

CHERAS, 31 Oktober 2018 – Pusat Terapi Sel (PTS), Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dengan kerjasama Cytopeutics Sdn Bhd, telah mengadakan majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bertempat di Sukmaria, Tingkat 3, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kampus Kuala Lumpur UKM.

Memorandum Perjanjian ini adalah kesinambungan daripada Memorandum perjanjian yang telah ditandatangani pada 22 Ogos 2011 serta beberapa siri perjanjian penyelidikan oleh kedua-dua pihak sejak 2011 dalam membangunkan hubungan yang lebih rapat dalam penyelidikan terapi sel sehinggalah kesepakatan untuk menyambung dan menandatangani Memorandum perjanjian dapat direalisasikan pada hari ini.

Prof. Datuk Dr. A Rahman dalam ucapannya berkata, kolaborasi antara UKM-Cytopeutics ini akan memfokuskan kepada bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi rawatan berasaskan sel stem. Memorandum Perjanjian ini untuk meningkatkan kerjasama dan potensi aplikasi klinikal menggunakan sel stem. Tambah beliau, kajian-kajian bakal ditumpukan dalam penyelidikan sel stem bagi mengoptimakan fungsinya dalam terapi perubatan termasuk wound healing, ischemic cardiomyopathy (kegagalan jantung), peripheral occlusive arterial disease, cerebrovascular disease (stroke), cartilage injury dan sebagainya.

Pusat Terapi Sel (PTS) menyediakan perkhidmatan terapi sel yang merangkumi sel stem hematopoietik, sel darah limfosit dan sel dendritik semenjak 1999 dan berjaya melakukan lebih 200 pemindahan autologous dan allogenik sel stem hematopoetik untuk pelbagai penyakit kanser darah dan penyakit sum-sum tulang. Rakan kerjasama PTS iaitu Cytopeutics Sdn Bhd merupakan syarikat peneraju dalam kajian dan rawatan sel stem di Malaysia. Cytopeutics kini bergerak maju dalam penyelidikan sel stem untuk merawat kegagalan jantung, penyakit jantung iskemia, osteoarthritis (lutut) dan kencing manis. Ujian klinikal dijalankan dengan profesional, berdasarkan teknologi dan protokol yang dipatenkan.

Hadir dalam majlis ialah Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus KL, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof. Dr. S Fadilah Abdul Wahid, Ketua Pusat Terapi Sel HCTM, dan Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, wakil Dekan Fakulti Perubatan. Manakala pihak Cytopeutics pula dihadiri oleh Encik James Then Khong Lek, Pengarah Urusan, Puan Zoe Cheng Voon Sze, Pengarah Eksekutif, dan Prof. Dr. Chin Sze Piaw, Penasihat Klinikal dan Kajian.

PROGRAM: MAJLIS PENUTUPAN RASMI 2ND INTERNATIONAL CONFERENCE ON HEALTH FINANCING CHERAS, 5 Julai 2018

12 Jul 2018

CHERAS, 5 Julai 2018 – Penutup Majlis 2nd Malaysian Health Economic Association dan Pelancaran MY-DRG Dental Casemix telah dijalankan di Auditorium PPUKM pada jam 4.00 petang. Majlis telah dirasmikan oleh YB. Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia. Hadir sama termasuk Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Marzuki bin Mustafa, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik & Antarabangsa), Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof. Dato’ Dr. Syed Mohamed Aljunid, Pengerusi Malaysian Health Economic Association (MAHEA), dekan-dekan, pengarah serta beberapa orang pegawai kanan Kampus KKL.

Bertemakan Mobilizing Community Resources Towards Sustainable Health Financing, persidangan yang bermula semalam telah dihadiri hampir 100 orang peserta. Persidangan ini merupakan anjuran International Center for Casemix and Clinical Coding (ITCC) UKM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Masyarakat, Jabatan Perubatan Keluarga, dan Malaysian Health Economic Association (MAHEA).

 Dr. Haji Dzulkefly dalam ucapannya memberitahu visi Kesihatan Malaysia adalah menjadikan Malaysia sebuah negara yang sihat individu, keluarga dan komuniti, melalui sistem kesihatan yang adil, berpatutan, cekap, sesuai dengan teknologi, mesra alam dan mesra pelanggan, dengan penekanan terhadap kualiti, inovasi, promosi kesihatan dan menggalakkan tanggungjawab individu dan penyertaan masyarakat terhadap peningkatan kualiti hidup.

Ini adalah sejajar dengan set deklarasi Bangsa-Bangsa Pembangunan Sustainable Development (SDGs) pada tahun 2015, bahawa semua negara perlu mencapai visi ini menjelang tahun 2030. Untuk mencapai kedua-dua visi untuk kesihatan Malaysia dan SDG ini, semua individu dan masyarakat harus mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan yang diperlukan walaupun di kalangan penduduk miskin.

Menurut Laporan Akaun Kesihatan Kebangsaan Malaysia 1997-2015, perbelanjaan kesihatan kerajaan umum (GGHE) sebagai sebahagian daripada perbelanjaan kerajaan am (GGE) untuk Malaysia telah meningkat daripada RM4.2 bilion pada tahun 1997 (bersamaan dengan 4.79% daripada kerajaan am perbelanjaan) kepada RM27.1 bilion pada tahun 2015 (bersamaan dengan 6.59% daripada perbelanjaan kerajaan am). Peningkatan ini dalam peratusan dan jumlah nominal agak berkaitan. Di samping itu, dalam laporan yang sama, peratusan perbelanjaan keluar rumah untuk kesihatan daripada jumlah perbelanjaan untuk kesihatan juga meningkat mencapai hampir 40%. Ini jauh di atas sasaran konvensional pengeluaran luar poket yang 30% atau kurang daripada jumlah perbelanjaan kesihatan untuk mencapai liputan kesihatan sejagat. Berdasarkan maklumat di atas, Malaysia perlu  memikirkan semula dengan bijak mengenai isu-isu mendapatkan sumber yang mencukupi untuk kesihatan dan memastikan bahawa model pembiayaan penjagaan kesihatan berkekalan dalam jangka panjang.

Apabila kerajaan baru mengambil alih pada 9 Mei, salah satu daripada janji-janji dalam Manifesto Pakatan Harapan adalah untuk memperluaskan Skim Peduli Sihat (SPS) ke seluruh negara untuk memastikan bahawa golongan miskin- kumpulan pendapatan penduduk atau B40, akan mempunyai akses yang mencukupi kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Dianggarkan versi Skim Peduli Sihat yang dinasionalisasi akan memberi manfaat kepada lebih dari 2.6 juta isi rumah di negara ini atau sekitar 10.4 juta orang.

Dalam persidangan dua hari ini, beliau telah melihat bahawa masalah pembiayaan penjagaan kesihatan yang panjang telah dibincangkan. Beberapa negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Filipina juga telah berkongsi pengalaman mereka dalam melaksanakan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional berdasarkan Model Insurans Kesihatan Sosial dengan mekanisme untuk melindungi golongan berpendapatan rendah. Beliau berharap, semua peserta persidangan ini mengambil kesempatan ini untuk belajar seberapa banyak yang mungkin dan juga membina hubungan rangkaian yang kukuh untuk kerjasama yang berterusan.

Diakhir ucapan beliau mengucapkan tahniah kepada penyelidik UKM dan USM atas kerjasama yang kuat dan semangat kerja berpasukan untuk membangunkan dan melancarkan sistem MY-DRG Oral Health Casemix  hari ini. Ini adalah sistem casemix pertama untuk perkhidmatan pergigian di dunia yang akan membantu dalam menentukan kos perkhidmatan pergigian. Perkhidmatan pergigian adalah antara perkhidmatan penting untuk negara kita tetapi kos penyediaan perkhidmatan adalah sangat tinggi. Dengan sistem MY-DRG Oral Health Casemix, beliau berharap sistem ini dapat menguruskan perkhidmatan pergigian dengan cekap.

Majlis diakhiri dengan gimik pelancaran MY-DRG Dental Casemix, tayangan multimedia, sesi fotografi dan jamuan petang.

PROGRAM: Seminar Keganasan dan Psikiatri “Bebaskan Stigma Takut”

29 Jun 2018

CHERAS, 28 Jun 2018 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Kampus Kuala Lumpur, UKM menjadi tuan rumah Seminar Keganasan dan Psikiatri yang dianjurkan oleh Special Interest Group (SIG) Mental Health Malaysian Nurses Association dengan kerjasama Malaysian Nurses Association cawangan HCTM. Seminar ini dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM UKM di Auditorium Fakulti Perubatan UKM. Seminar bertemakan “Bebaskan Stigma Takut”.

Dalam ucapannya, Prof. Dato Dr. Hanafiah berkata selain isu kesihatan mental yang membimbangkan, isu stigma juga menyumbang ke arah keganasan di kalangan pesakit-pesakit mental. Pemikiran masyarakat kita telah dibentuk sejak dahulu di mana penyakit mental sering dikaitkan dengan ‘gila’ dan sesuatu yang ganas dan tidak dijangka. Stigma dan rasa takut ini menyebabkan pesakit ini sukar mendapat rawatan dan bantuan.

Turut hadir adalah Puan Zamrudah Mohd Ismail, Timbalan Presiden (Bahagian Perkhidmatan) Malaysian Nurses Association, Puan Wan Fatimah pengerusi Malaysian Nurses Association cawangan HCTM, dan Encik Abdul Razak Rosli Pengerusi Special Interest Group Mental Health Malaysian Nurses Association.

Sementara dalam ucapan disampaikan oleh Puan Wan Fatimah, beliau berkata sebagai usaha menghadapi cabaran peningkatan masalah kecelaruan mental, latihan sub kepakaran dalam bidang Psikiatri dan platform perkongsian ilmu seperti seminar ini perlu diperbanyakkan untuk membantu jururawat dan profession perubatan bidang psikiatri  dalam menangani masalah pesakit kecelaruan mental yang semakin meningkat.

Penganjuran seminar ini telah menarik minat hampir 250 peserta daripada seluruh Malaysia. Majoriti peserta adalah kakitangan kesihatan daripada Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh, Hospital Melaka, Hospital Sultan Abdul Halim Kedah, Hospital Serdang, Hospital Ampang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah,  Hospital Rehabilitasi Cheras, Pusat Jagaan Husna Arashid, MAIWP-PICOMS Nursing Homecare, dan IIUMMC.

Tiga penceramah jemputan telah hadir menyampaikan ceramah dan input kepada para peserta yang hadir. Antara topik ceramah yang disampaikan ialah ‘Keganasan dan Psikiatri – Mengapa Takut?’ oleh Dr. Ahmad Rostam Md Zin, ‘Komunikasi Yang Berkesan Menangani Pesakit Yang Agresif’ oleh Prof. Madya Dr. Utharas Arumugam,  dan ‘Manangani Pesakit Psikiatri di General Wad dan ED’ disampaikan oleh Dr. Aida Harlina Bt Abd Razak.

PROGRAM : Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat Kampus Kuala Lumpur Universiti Kebangsaan Malaysia

7 Jun 2018

CHERAS, 14 Mei 2018 – Sambutan Hari Jururawat Sedunia peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kampus Kuala Lumpur telah diadakan di Auditorium, Pusat Perubatan UKM dengan meriah. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor, Kampus Kuala Lumpur.

Hari Jururawat Sedunia yang disambut pada 12 Mei setiap tahun dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, HCTM merupakan hari pengikhtirafan dan mengenang jasa para jururawat terutamanya yang berkhidmat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Kerjaya sebagai seorang jururawat tertumpu kepada hak kesihatan, penjagaan kesihatan yang berkualiti dan sentiasa menambahbaik sistem perawatan terhadap pesakit.

Turut hadir di majlis berkenaan adalah Prof. Madya Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Puan Fuziah Abdul Hamid, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan serta beberapa pegawai kanan dan kakitangan kejurawatan yang terdiri daripada pengurus, ketua jururawat dan jururawat dari pelbagai wad dan klinik.

Menurut Prof. Datuk Dr. A Rahman, profesion kejururawatan kini telah berkembang dengan perubahan pantas dari bedside nursing care kepada kerja-kerja yang highly technical. Kini telah ada nursing diagnosis untuk mengenal pasti masalah pesakit dan merancang keperluan serta kehendak pesakit mengikut keadaannya.

Tambahannya lagi di era globalisasi masa kini, transformasi sistem kesihatan menjadi cabaran dengan peningkatan umur yang panjang dikalangan pesakit. Para jururawat perlu berilmu seiring dengan revolusi teknologi perubatan dan pembaharuan penjagaan kesihatan mengikuti perubahan masa.

Bersempena dengan sambutan ini, Jabatan perkhidmatan Kejururawatan telah mengambil langkah proaktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan amalan hidup sihat seperti Minggu Literasi Kesihatan dan Gaya Hidup Sihat di Institut Perguruan Ilmu Khas dan Larian Amal Nurse Fit Run serta pameran evolusi perkembangan bidang kejururawatan dengan kerjasama Muzium Warisan Akademik UKM sebagai tanda penghargaan kepada para jururawat HCTM.

Majlis dimeriahkan lagi dengan acara memotong kek dan beberapa persembahan lakonan serta nyanyian daripada kakitangan jabatan. Tidak ketinggalan, persembahan silat dan dikir yang bersahaja berjaya memeriahkan lagi suasana majlis.

PROGRAM – Majlis Pelancaran Mesin Air Mini Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) terkecil di dunia

8 Dec 2017

Majlis Pelancaran Mesin Air Mini Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) terkecil di dunia telah diadakan pada 7 Disember 2017, jam 10.00 pagi bertempat di Lobi Utama HCTM PPUKM. Majlis ini dianjurkan oleh Jabatan Otorinolaringologi dengan kerjasama EASMED Sdn. Bhd.

Mesin rawatan penyakit Sindrom Tidur Berapnea atau Obstructive Sleep Apnoea (OSA) yang terkecil di dunia diperkenalkan buat pertama kali kepada rakyat Malaysia di Pusat Perubatan UKM. Sebelum ini, alat AIR MINI CPAP yang sedia ada di pasaran adalah bersaiz besar dan sukar dibawa serta dikendalikan oleh pesakit yang kerap mengembara terutamanya dalam penerbangan.

Majlis telah dirasmikan oleh wakil pengarah HCTM PPUKM, YBhg. Prof. Dr. Ahmad Nasrun Shuid, Timbalan Dekan(Siswazah dan Hubungan Antarabangsa). Ceramah mengenai penyakit Sindrom Tidur Berapnea yang disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Abdullah Sani bin Mohamed  dan pengenalan alat AIR MINI CPAP oleh wakil EASMED turut diselitkan dalam majlis ini.

JEMPUTAN – STEM CELL RUN 2017

13 Oct 2017

STEM CELL RUN 2017
JOIN THE STEM CELL RUN 2017 AND “LET’S RUN FOR FUND”

TEC REACHES OUT TO 1000 RUNNERS TO RAISE FUNDS FOR THE DEVELOPMENT OF STEM CELL & REGENERATIVE MEDICINE IN MALAYSIA

Kuala Lumpur, 10 Oktober, 2017: Pusat Kejuruteraan Tisu(PKT), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akan menganjurkan program larian amal “Stem Cell Run 2017, Let’s Run For Fund” pada 4 November 2017 bertempat di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. Program ini dianjurkan bersempena dengan Hari Kesedaran Sel Stem & Perubatan Regeneratif, Pusat Kejuruteraan Tisu. Tujuan utama penganjuran adalah untuk memberi kesedaran dan menyampaikan maklumat tentang pembangunan bidang terapi regeneratif melalui teknologi kejuruteraan tisu dan sel stem.

PKT mensasarkan seramai 1000 penyertaan pada penganjuran sulung larian amal ini. Penganjuran ini turut bertujuan untuk mengumpul dana bagi pembangunan aktiviti penyelidikan dan percubaan klinikal di PKT. Program ini akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Hilmi bin Haji Yahaya. Dana yang dikumpul adalah melalui yuran para peserta sebanyak RM50 dan RM70 untuk jarak 5km dan 10km. Para peserta yang mendaftar akan menerima baju-T rasmi larian, pingat ekslusif, e-sijil dan barang-barang cenderamata dari pihak penaja dan penganjur.

Menurut Ketua PKT, Prof. Madya Angela Ng Min Hwei “Penganjuran “The Stem Cell Run 2017” adalah sebagai lambang kepada perjalanan dan kejayaan aktiviti R&D yang telah dilalui oleh PKT, malahan juga merupakan usaha pihak PKT untuk mewujudkan kesedaran dikalangan masyarakat untuk memahami teknologi sel stem dan perubatan regeneratif disamping menolak pandangan negatif masayarakat tentang teknologi ini. Pengumpulan dana adalah untuk menampung aktiviti penyelidikan dan membolehkan produk kajian preklinikal melalui fasa percubaan klinikal pula. Tambah beliau lagi, ”Proses penyelidikan dan percubaan klinikal memerlukan perancangan yang teliti
supaya produk klinikal yang dihasilkan memenuhi kualiti yang ditetapkan. Kami berharap agar rakyat Malaysia dapat bersama-sama mengambil bahagian di dalam larian ini, seterusnya menyumbang untuk satu tjuan yang murni untuk memberi masa hadapan yang baik kepada generasi akan datang”.

Selain daripada acara larian, program ini turut memperkenalkan produk-produk penyelidikan di PKT yang telah dihasilkan menggunakan teknologi kejuruteran tisu. Program ini mendapat sokongan daripada Persatuan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif Malaysia (TESMA) dan piha industri yang turut mempamerkan produk-produk mereka. Pengumpulan dana oleh PKT yang bermula sejak Jun 2017 telah menggunakan platform Gift2UKM yang memberi kelebihan kepada penaja untuk mendapat pengecualian cukai.

Pada dasarnya dana ini adalah untuk aktiviti penyelidikan dan percubaan klinikal di PKT. Sebarang sumbangan boleh dilakukan terus ke laman sesawang Gift2UKM atau berhubung dengan PKT sebelum 31 Disember 2017. Program ini turut menawarkan beberapa aktiviti lain seperti pemeriksaan kesihatan, cabutan bertuah, kendera saji, kuiz sains dan peluang untuk melihat sel stem yang sebenar disamping pameraan berkaitan teknologi kejuruteraann dan perubatan regeneratif. Para peserta akan turut disajikan dengan aktiviti Zumba oleh SoulFit Studio di bawah pimpinan Yvone Kan dan menampilkan Atilia daripada Yogaonethatiwant Studia yang akan memimpin aktiviti Yoga Maklumat berkaitan “Stem Cell Run 2017” adalah seperti berikut:

Tarikh 4 November 2017 (Sabtu)
Masa 6.40 pagi– 4.00 petang
Tempat Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur
Penganjur Tissue Engineering Centre, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia
Perasmi Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (KIV)
Aktiviti 5 km and 10 km run, exhibition on stem cells and tissue engineering research in Malaysia, booth by sponsor, free health check, lucky draw, food truck, Zumba and many more
Yuran RM 50 untuk 5 km
RM 70 untuk 10 km
(10% diskaun kumpulan≥ 3)
Sasaran 1000 peserta
Runner’s entitlement Ultron micro-dry tee, exclusive finisher medal, e-certificate and a goodie bag with free gifts

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut berkaitan program, sila hubungi atau layari:

Laman sesawang rasmi “Stem Cell Run 2017 “: https://stemcellrun2017.wordpress.com/
Alamat penganjur: Tissue Engineering Centre, 12 th Floor, Clinical Block, Universiti Kebangsaan Malaysia Medical Centre, Jalan Yaacob Latif, 56000 Cheras, Kuala Lumpur, Malaysia
Talian telefon: 03- 9145 7670 (waktu bekerja), 011- 1890 4246 (WhatsApp)
Email: tec@ppukm.ukm.edu.my

Program – Hari Kesedaran Autisme Peringkat PPUKM 2017

27 Apr 2017

Hari Kesedaran Autisme Peringkat PPUKM 2017 telah diadakan pada 27 April 2017 di Auditorium PPUKM dengan objektif memberi kesedaran dan pemahaman kepada masyarakat mengenai Autisme dan peluang-peluang yang ada untuk golongan Autisme. Program tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy, Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah HCTM PPUKM. Turut hadir dalam majlis ialah pengurus Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia, Timbalan-timbalan Dekan, warga PPUKM dan orang awam.

Penganjuran program ini adalah hasil kerjasama Pusat Perkembangan Kanak-kanak, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, Jabatan Psikiatri, Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia. Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia merupakan penaja utama program pada hari ini dan bergerak aktif dalam memberikan kebajikan kanak-kanak kepada yang benar-benar memerlukan.

Antara aktiviti yang telah disusun rapi ialah ceramah yang bertajuk Autisme: Realiti Semasa di Malaysia disampaikan oleh Pengarah Permata Kurnia Prof. Madya Dr. Hasnah Toran, ceramah ‘Coping Strategies’ oleh Prof. Madya Dr. Fairuz Nazri Abdul Rahman, Jabatan Psikiatrik dan yang ceramah yang bertajuk ‘Proses Intervensi dan Penglibatan Ibu Bapa’ oleh Puan Nor Shahrina Mohd Zawawi, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan. Di akhir program, Tayang Filem ‘Redha’ arahan Tunku Mona Riza akan disajikan untuk tontonan peserta. Tayangan ini yang diambil dari kisah benar menceritakan tentang kehidupan ibu bapa membesarkan anaknya yang menghidap Autisme.

Sesi penyerahan cek sumbangan sebanyak RM3,000 kepada PPUKM turut diadakan. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh RMHC dalam usaha membantu Pusat Perkembangan Kanak-kanak dan jabatan-jabatan yang terlibat memupuk kesedaran Autisme dikalangan orang awam. Majlis turut dimeriahkan dengan dua persembahan daripada Sek.Keb. TTDI 2. Program selama setengah hari ini telah menarik hampir 250 penyertaan yang terdiri daripada warga PPUKM dan orang awam.

1 2 3 6

Search

+
Font Resize
Contrast