Lawatan Khidmat Masyarakat Ronald McDonald House Charity dan Mustard Seed Soup Kitchen

30 Jul 2019

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Muhammad Shahrul Izwan Halim

CHERAS, 24 Julai 2019 – Ahli Jawatankuasa Ronald McDonald House Charity (RMHC) bersama-sama dengan Mustard Seed Soup Kitchen telah mengadakan khidmat masyarakat di Wad Pediatrik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Program ini diadakan untuk menyantuni pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Ucapan aluan ringkas telah disampaikan oleh En. Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah Pentadbiran HCTM.

Rombongan RMHC dan Mustard Seed Soup Kitchen telah meluangkan masa selama 2 jam di empat wad Pediatrik. Sumbangan berupa goodie bag, baucer, dan Happy Meal McDonald diberikan kepada setiap kanak-kanak di wad-wad Pediatrik. RMHC juga turut membawa maskot Ronald McDonald bagi menambah lagi keceriaan pesakit kanak-kanak. Aktiviti ini juga memberi peluang kepada delegasi beramah mesra bersama pesakit dan ibu bapa pesakit yang menemani pesakit di sisi katil. Program khidmat masyarakat ini selesai  pada jam 4.30 petang.

 

 

Lawatan Korporat Urusetia Hospital Pengajar UNIMAS Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

11 Jul 2019

CHERAS, 9 Julai 2019 – Seramai lima orang delegasi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mengadakan lawatan korporat ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk mendapatkan maklumat dari segi struktur organisasi, fasiliti, penjanaan perolehan serta operasi Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM. Lawatan ini diketuai oleh Prof. Dr. Mohammad Zulkarnaen bin Ahmad Narihan, Timbalan Dekan (Pembangunan dan Perkhidmatan Klinikal) UNIMAS. Hadir bersama Prof. Madya Dr. Ehfa binti Bujang Safawi Timbalan Dekan (Prasiswazah) dan beberapa pengawai kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS. Delegasi yang hadir juga merupakan urusetia hospital pengajar UNIMAS.

Kehadiran delegasi telah disambut mesra oleh pengurusan HCTM dan perbincangan dimulakan dengan sesi perkenalan serta tujuan lawatan diadakan. UKM dijadikan sebagai penanda aras berikutan mempunyai sebuah hospital pengajar yang tersendiri. Delegasi UNIMAS berharap maklumat-maklumat yang diperolehi daripada lawatan ini dapat membantu dalam menubuhkan sebuah hospital pengajar. Sesi perbincangan dipengerusikan oleh Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM dan barisan pengurusan HCTM yang hadir terdiri daripada timbalan-timbalan pengarah HCTM, Ketua Perkhidmatan Kejururawatan, Ketua Bahagian Penjanaan KKL UKM, wakil Bhg. Sumber Manusia dan Jabatan Bendahari. Perbincangan diakhiri dengan penukaran cenderamata dan sesi fotografi.

HCTM Sebagai Penanda aras Universiti Malaysia Sabah dalam Penubuhan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Keperluan Khas

28 Mar 2019

Oleh Noorlaily Abdul Rahim
Foto Muhammad Shahrul Izwan Halim

CHERAS, 28 Mac 2019– Hospital Canselor Tuanku Muhriz telah menerima kunjungan lapan orang delegasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) daripada Pusat Pelaburan dan Endowmen, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, dan Pusat Minda Lestari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Lawatan telah disambut mesra oleh Pengarah HCTM, pegawai kanan dan beberapa wakil jabatan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 1, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar. Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd Karim, Pengarah Pusat Pelaburan dan Endowmen UMS yang mengetuai lawatan ini memaklumkan objektif utama lawatan adalah untuk bertukar-tukar maklumat, membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan keperluan operasi pusat penjagaan kanak-kanak keperluan khas, keperluan rehabilitasi dan fisioterapi kanak-kanak khas. UMS dalam perancangan menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak keperluan khas, dan lawatan ini diharapkan dapat memberi input serta maklumat berguna untuk penubuhan pusat tersebut.

Perbincangan dan sesi soal jawab antara wakil UMS dan HCTM diadakan hampir dua jam sebelum delegasi dibawa melawat ke Pusat Kembangan Kanak-kanak dan Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan untuk melihat dengan lebih dekat kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Lawatan Akademik Cyber University Collage of Medical Sciences (CUCMS) dan University of Health And Welfare Niigata Japan ke HCTM

21 Feb 2019

Oleh Norhayati Md Raji
Foto Norashikin Yusof

CHERAS, 19 Februari 2019 – Seramai 20 orang pelajar dan pensyarah daripada Cyber University Collage of Medical Sciences (CUCMS) dan University of Health And Welfare Niigata Japan telah hadir ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk melihat dengan lebih dekat perkhidmatan di Jabatan Perubatan Kecemasan dan Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan.

Objektif lawatan akademik para pelajar program ijazah dan diploma jurusan bidang kesihatan dalam medical sciences, psychology dan phsioterapy ini adalah untuk memberi pendedahan ilmu dan pengalaman berkaitan perkhidmatan ambulan, proses pengurusan kecemasan dan pengurusan pre hospital di Jabatan Perubatan Kecemasan, perkhidmatan fisioterapi untuk pesakit yang menghadapi masalah respiratori, jantung dan kumpulan pesakit khas wanita, diabetis serta hand therapy di Unit Fisioterapi Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan.

Lawatan akademik ini selesai pada jam 12.00 tengahari dan diakhiri dengan sesi fotografi beramai-ramai.

HCTM UKM Bersama MIASA Memeriahkan Lagi Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Pesakit Psikiatri

31 Jan 2019

Oleh Hafizah Mohamad Isa
Foto Noorashikin Yusof

CHERAS, 23 Januari 2019 – Jabatan Psikiatri, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) dengan kerjasama Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) telah mengadakan majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Pusat Psikiatri Komuniti dan Intervensi Psikososial, Jabatan Psikiatri HCTM UKM pada hari ini.

Sambutan ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran YAM Tengku Puteri Iman Afzan Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke majlis tersebut untuk bersama – sama meraikannya dengan para pesakit, keluarga pesakit, sukarelawan dan kakitangan HCTM. Turut bersama adalah Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM, Prof. Dr. Marhani Midin, Ketua Jabatan Psikiatri dan Puan Anita Abu Bakar Presiden MIASA.

Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, dalam ucapannya, telah mengalu-alukan kehadiran kerabat diraja Pahang ke majlis ini merupakan suatu penghormatan dan pengiktirafan kepada warga HCTM amnya dan warga Jabatan Psikiatri khasnya. Beliau berharap program seperti ini akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa serta sangat bangga dengan pihak MIASA yang diketuai oleh Puan Anita Abu Bakar.

Sementara, Prof. Dr. Marhani Midin dalam ucapannya berkata, keistimewaan program pada kali ini, ia dikendalikan oleh pesakit psikiatri HCTM itu sendiri. Sebelum ini, pesakit tidak bersedia untuk bergaul dengan masyarakat luar disebabkan faktor kesihatan mereka. Tetapi hari ini, kita dapat melihat sikap keterbukaan yang mereka pamerkan, hasil kerjasama dan keakraban yang terjalin antara kakitangan Jabatan Psikiatri dan MIASA.

 

Para tetamu jemputan dihidangkan dengan beberapa persembahan oleh pesakit, penyampaian cenderamata, cabutan bertuah dan jamuan ringan sempena sambutan tahun baharu cina. Program seperti ini juga telah berjaya menyatukan golongan ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan.

YAM Tengku Puteri Iman Afzan diiringi Pengarah HCTM seterusnya melawat ke wad – wad psikiatri untuk bertemu dengan pesakit yang menerima rawatan di HCTM.

Jabatan Psikiatrik yang diketuai oleh Prof. Dr. Marhani Midin terdiri daripada sepuluh Pakar Psikiatri serta (2) dua Pakar Klinikal Psikologi yang terlibat secara aktif menyumbangkan tenaga dan khidmat bakti untuk memberikan perawatan yang terbaik kepada pesakit-pesakit Psikiatri dan merupakan hospital pertama di Malaysia yang mengamalkan rawatan pesakit Psikiatri di dalam Wad secara Wad Terbuka.

LAWATAN – Program Komuniti McDonald’s & RMHC di Pediatrik HCTM

23 Oct 2018

CHERAS, 18 Oktober 2018 – Kerjasama erat antara Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan Ronald McDonald telah terjalin sekian lama sejak penubuhan Ronald McDonald House Charities (RMHC) dalam premis Pusat Perubatan UKM. Hari ini pelawat daripada Ronald McDonal dan RMHC mengadakan Program Komuniti McDonald’s & RMHC di Klinik Pediatrik HCTM dan Wad Pediatrik (4A, 4B, 4D, 4K). Kunjungan delegasi berkenaan adalah untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ucapan aluan disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Pentadbiran), En. Mursidi Ahamad. Turut hadir sama ialah Dr. Anita Othman, Timbalan Pengarah (Pekhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan Klinikal) HCTM, Puan Rosedalina Ibrahim Pengurus Kanan Hal Ehwal Halal McDonald’s Malaysia dan Puan Idayu Mukti, Pegawai Kanan RMHC Malaysia dan kakitangan McDonald Malaysia serama 20 orang.

Wakil pengurusan HCTM, Encik Mursidi mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan delegasi Ronald McDonald memilih HCTM untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat. Beliau berbangga kerana HCTM mempunyai Ronald McDonald Charity House (RMHC) pertama di Malaysia yang dibina pada tahun 1999 telah banyak membantu keluarga kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di HCTM. Penubuhan RMHC adalah untuk membantu keluarga pesakit kanak-kanak yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan penginapan yang selesa serta dekat dengan pesakit yang sedang menerima rawatan di HCTM. Kerjasama ini diharapkan akan berterusan untuk manfaat pesakit kanak-kanak dan keluarga yang kurang berkemampuan.

Lawatan diadakan di klinik Pediatrik. Aras Bawah dan wad-wad Pediatrik serta Sekolah Dalam Hospital (SDH). Pemberian sumbangan berupa Happy Meal dan Goodie Bag diberikan kepada setiap pesakit dan waris yang berada di wad serta kakitangan bertugas.

PPUKM sebagai lokasi penganjuran Program Pelaksanaan Budget 2018 – Kesejahteraan Isi Rumah

23 Feb 2018

Pada 22 Februari 2018, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Pusat Perubatan UKM telah dipilih sebagai lokasi Program Pelaksanaan Budget 2018 – Kesejahteraan Isi Rumah. Turut hadir dalam program ini YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak yang berkongsi mengenai perkara berkaitan Kesejahteraan Isi Rumah dalam Budget 2018 dan merasmikan ADAM 50. Beliau juga berkesempatan melawat Farmasi Pesakit Luar dan Wad 1A untuk bertemu dengan pesakit-pesakit yang mendapatkan rawatan di HCTM.

 

.

PROGRAM – Lawatan Pendidikan Anak-anak Orang Asli Kg. Chuweh

29 Dec 2016

Seramai 15 orang kanak-kanak orang asli Kg. Chuweh telah hadir ke PPUKM bagi mengikuti Program Pendidikan Anak-Anak Orang Asli Kg. Chuweh anjuran UCTC UKM dengan kerjasama PPUKM. Program selama 3 hari bermula 19 -21 Disember 2016 dijayakan dengan penglibatan fakulti-fakulti di UKM. Fakulti Perubatan diberi peluang untuk mengaturkan sesi pendidikan pada 21 Disember 2016, selama 2 jam untuk memberi pendedahan pendidikan kesihatan kepada anak-anak orang asli ini.

Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Prof. Madya Dr. Zaleha Md Isa, selaku penyelaras program dan wakil Ketua HEJIM, dan diikuti ucapan pengenalan ringkas mengenai Muzium Anatomi oleh Prof. Madya Dr. Norzana Binti Abd. Ghafar, Ketua Jabatan Anatomi. Setelah selesai sesi pembukaan, aktiviti diteruskan dengan lawatan ke Muzium Anatomi. Muzium Anatomi berada di tingkat 3 Bangunan Praklinikal menempatkan koleksi spesimen jar yang sebahagian struktur tubuh badan atau organ manusia bagi tujuan pembelajaran. Sejak  ditubuhkan, Muzium Anatomi telah berjaya menghasilkan jar spesimen seperti anggota badan atas, anggota badan bawah, sistem  respiratori,  sistem urinari, sistem endokrin, sistem reproduktif, sistem kardiovaskular, toraks, abdomen  dan lain-lain.

Lawatan seterusnya di tingkat 10 iaitu Makmal Parasitologi dimana kanak-kanak diberi penerangan mengenai bahaya parasit seperti cacing gelang, cacing pita dan cacing cambuk. Selain itu, anak-anak orang asli juga boleh melihat dengan lebih dekat cacing yang telah disimpan dalam jar spesimen. Walaupun, sesi ini dihadkan selama 2 jam, pengisian yang diaturkan dapat memberikan input dan pengalaman yang berguna untuk anak-anak ini.

Program Lawatan Khidmat Masyarakat Sempena Sambutan Hari Ibu dan Jururawat 2016

26 May 2016

Sempena menyambut Hari Ibu dan Jururawat, Pusat Khidmat Komuniti Bandar Tun Razak menganjurkan program khidmat masyarakat yang akan dilaksanakan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan UKM. Program ini turut disertai oleh YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat untuk memberikan sumbangan kepada pesakit di Wad O&G 2A dan wad 2B. Program Lawatan Khidmat Masyarakat Sempena Sambutan Hari Ibu dan Jururawat 2016 telah diadakan pada 9 Mei 2016 yang lepas di Sukmaria, HCTM PPUKM.

1 2

Search

+
Font Resize
Contrast