Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025/1446H Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras)
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025/1446H Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras) telah diadakan pada 17 April 2025 (Khamis) bertempat di Lobi Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM. Majlis ini merupakan anjuran Kampus Kuala Lumpur (KKL) (Zon Cheras) dengan kerjasama Fakulti Perubatan UKM, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (HPKK), Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI) dan Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI).
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor KKL. Penganjuran ini bertujuan untuk memupuk ukhuwah, meningkatkan rasa syukur dan memperkasakan hubungan silaturrahim antara warga KKL (Zon Cheras). Majlis dimeriahkan dengan persembahan daripada Warga KKL (Zon Cheras) dan tarian daripada kanak-kanak Taska HCTM. Selain itu, turut diadakan penyampaian sumbangan duit raya kepada kanak-kanak Taska HCTM sebagai tanda ingatan dan kasih sayang. Pelbagai juadah menarik yang sinonim dengan sambutan Syawal disajikan seperti lemang dan rendang, nasi impit dan kuah kacang, sate, set nasi Arab, bihun sup, kambing golek, ayam golek dan lain-lain.
Majlis Aidilfitri ini dihadiri oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UKM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Ismail Sagap, Pengarah HPKK, YBhg. Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Dekan Fakulti Perubatan dan Prof. Madya Dr. Nor Azian Abdul Murad, Pengarah UMBI, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Pengurusan Tertinggi Universiti, Timbalan-timbalan pengarah, Ketua-ketua Jabatan, Rakan-rakan strategik, Para pengamal media dan Warga UKM.