Majlis Sambutan Hari Embriologis Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 dan Memperkenalkan Program Diploma Pascasiswazah Embriologi Klinikal UKM
CHERAS, 25 Julai 2023 – Majlis Sambutan Hari Embriologis Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 dan Memperkenalkan Program Diploma Pascasiswazah Embriologi Klinikal UKM telah diadakan pada 25 Julai 2023 bertempat di Galeri Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Majlis anjuran Pusat Reproduktif Termaju HCTM dengan kerjasama Malaysia Association of Clinical Embryologist (MACE) telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur.
Sambutan di peringkat kebangsaan yang julung-julung kali diadakan merupakan suatu penghormatan dan penghargaan besar kepada para Pegawai Embriologis yang memainkan peranan penting dalam menjayakan kehamilan pesakit-pesakit kesuburan atau IVF. Kombinasi kemahiran dan kepakaran ahli perubatan reproduktif, embriologis, dan andrologis menjadi tunjang utama kepada kadar kejayaan seumpama ini yang boleh dikatakan setaraf dengan negara-negara lain. Program baharu yang ditawarkan oleh UKM iaitu Program Diploma Pascasiswazah Embriologi Klinikal (PDEK) turut diperkenalkan dalam majlis sambutan ini.. Istimewanya PDEK ini adalah ia merupakan satu-satunya program di Malaysia yang melatih Pegawai Embriologis secara formal dan berstruktur. Program ini diasaskan atas keperluan untuk melahirkan ahli embriologis yang berpengetahuan tinggi dan berkemahiran dalam bidang embriologi klinikal.
Pro Naib Canselor dalam ucapannya berharap dengan adanya program ini keperluan ahli embriologis yang mahir dapat dipenuhi dan boleh memberikan kesan signifikan kepada kadar keberjayaan rawatan kesuburan di negara ini. Majlis turut dihadiri oleh Prof. Dr. Nur Azurah Abdul Ghani, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Prof. Madya Dr. Abdul Kadir Abdul Karim, Ketua Pusat Reproduktif Termaju, Ketua- ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Embriologis dan Warga UKM.








