Majlis Perhimpunan Kakitangan Bil 2/2022
Cheras, 10 Jun 2022 – Majlis Perhimpunan Kakitangan Bil 2/2022 telah diadakan di Dewan Serbaguna, Blok Tambahan HCTM dan secara langsung di HCTM TV dan Facebook HCTM. Majlis bermula tepat pada jam 9.00 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Varsiti Kita, bacaan doa dan seterusnya video aktiviti HCTM sepanjang Januari sehingga Mei 2022.
Seperti kebiasaan, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM menyampaikan ucapan dengan memberikan maklumat-maklumat terkini, perkembangan semasa dan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh HCTM. Antara pemakluman yang menarik yang telah disampaikan ialah peralihan fasa Endemik pada 1 April 2022 yang lalu, kes pesakit COVID-19 dilihat menurun dan HCTM telah mengurangkan jumlah katil untuk pesakit COVID-19 kepada 20 unit sahaja. Dato’ Razman juga turut menyentuh tentang sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM yang akan menjelang dalam tempoh 2 minggu. Beliau turut mengucapkan syabas kepada jabatan dan warga HCTM yang mengadakan aktiviti-aktiviti bersempena dengan sambutan Jubli Perak dan berharap sambutan seperti ini berterusan sehingga penghujung tahun.
Beberapa aktiviti-aktiviti berskala besar Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM akan dianjurkan pada masa akan datang dan yang paling hampir ialah Minggu Kualiti HCTM yang akan dijalankan pada minggu hadapan dengan pengisian menarik yang ada diadakan secara fizikal dan maya. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada kakitangan yang mendapat anugerah dan kenaikan pangkat, namun pengiktirafan yang paling membanggakan ialah Akreditasi Advanced Surgical Skills Centre pada 29 April 2022 yang lepas dan pencapaian membanggakan QS World University Ranking baru-baru ini telah melonjakkan UKM daripada kedudukan 144 ke 129. Beberapa kejayaan dan pencapaian lain juga disebut di dalam ucapan beliau. Ucapan penuh boleh ditonton di HCTM TV di https://www.youtube.com/channel/UCIWJj7W3_FoNZhvh-kN0vfg.
Selepas ucapan pengarah, program diteruskan dengan Sesi Penyerahan Dokumen Medical Staff By-Laws dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Tiktok Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM. Majlis Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil. 2/2022 menutup tirai pada jam 10.00 pagi.











