Majlis Perasmian Seminar Wanita “Kesihatan Holistik Wanita 2025”
Majlis Perasmian Seminar Wanita bertajuk “Kesihatan Holistik Wanita 2025” yang dianjurkan oleh Bahagian Materniti & Rawatan Rapi Neonatal, Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung dengan penuh meriah dan jayanya pada 9 Oktober 2025 (Khamis) bertempat di Dewan Serbaguna 1 & 2, Bangunan Blok Tambahan, HCTM. Majlis ini telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan HCTM, wakil Pengurusan HCTM.
Seminar ini bertujuan memperkasa wanita agar lebih peka dan menjaga kesihatan mereka secara holistik, merangkumi aspek fizikal, mental dan emosi. Dengan kesedaran ini, para wanita diharap dapat mencapai kesejahteraan diri yang optimum demi kebaikan keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.
Seminar ini berjaya menghimpunkan lebih daripada 150 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan kesihatan HCTM serta peserta luar dari pelbagai institusi kesihatan lain. Antara institusi yang mengambil bahagian adalah Hospital Seremban, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Hospital Selayang serta beberapa hospital swasta di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Kehadiran pelbagai pihak ini menjadikan seminar sebagai satu platform perkongsian ilmu yang amat bermakna.
Seminar ini juga telah berjaya membuka ruang dan peluang untuk para peserta mendapatkan ilmu serta membina jaringan yang bermanfaat bagi memajukan agenda kesihatan wanita di negara ini. Turut hadir ialah Puan Zalela Mat Isa, Penasihat Jawatankuasa Seminar Wanita 2025 dan Puan Shawarulhida Mat Radzi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Seminar Wanita 2025.
