Majlis Perasmian Sambutan Minggu Penolong Pegawai Perubatan (PPP) 2025 Peringkat HCTM
Majlis Perasmian Sambutan Minggu Penolong Pegawai Perubatan (PPP) 2025 Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung pada 22 September 2025 (Isnin) di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.
Sambutan ini diadakan dengan tujuan memperkukuh kemahiran, memperluas pengetahuan, serta mengeratkan semangat kerjasama dalam kalangan warga Penolong Pegawai Perubatan (PPP) di HCTM. Dalam majlis ini, turut diumumkan penubuhan Unit Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan (U4P) yang telah mula beroperasi secara rasmi sejak 1 Ogos 2025. Unit baharu tersebut diketuai oleh Encik Abdul Wahid Jusoh dan diharapkan dapat memegang peranan penting dalam memastikan standard perkhidmatan di HCTM sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Pengarah dalam ucapannya, menekankan kepentingan inovasi dan adaptasi dalam dunia perubatan yang sentiasa berkembang. Beliau menyeru semua warga PPP untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan bukan sahaja dari segi teknikal tetapi juga aspek empati, keprihatinan dan nilai kemanusiaan.
Turut hadir sama memberikan sokongan, YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, YBrs. Encik Abdul Wahid Jusoh, Ketua U4P merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Minggu PPP, HCTM 2025 dan Warga HCTM.
