Majlis Perasmian Sambutan Jubli Mutiara 30 Tahun Program Implan Koklea UKM
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Fakulti Perubatan (FPER), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), serta Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak (Hospital TABTAR) telah mengadakan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Mutiara 30 Tahun Program Implan Koklea UKM pada 13 Disember 2025 (Sabtu) bertempat di Auditorium HCTM.
Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur (KKL). Beliau dalam ucapannya berkata lebih daripada 600 pesakit telah manfaat daripada program ini dan daripada jumlah tersebut, 85% penerima merupakan pesakit kanak-kanak. Kos implan koklea di Malaysia secara relatifnya adalah tinggi iaitu sekitar RM80 ribu bagi satu implan. Justeru, kerjasama pelbagai pihak, sama ada badan kerajaan atau NGO amat penting dalam membantu pesakit mendapatkan akses rawatan ini.
Program Implan Koklea UKM yang kini menyambut ulang tahun ke-30 telah berkembang sebagai salah satu program rujukan dunia yang bukan sahaja mengharumkan nama UKM di peringkat antarabangsa, malah telah meningkatkan kualiti hidup ratusan penerima implan daripada pelbagai peringkat umur yang mengalami masalah pendengaran dan komunikasi.
Implan koklea berfungsi menggantikan bahagian telinga dalam yang rosak bagi memproses bunyi, memberikan peluang baharu kepada penerima untuk kembali menjalani kehidupan normal dalam semua aspek termasuk akademik, sosial dan emosi. Program ini juga turut mencipta sejarah pada Julai 2025 apabila menjadi institusi pertama di Asia Tenggara menggunakan teknologi implan koklea pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Majlis dihadiri oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBhg. Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Dekan FPER, YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Badrul Akmal Hisham, Pengarah Perubatan Pusat Pakar UKM, YBrs. Prof. Madya Dr. Rafidah Mazlan wakil, Dekan FSK, YBhg. Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Halim Abd Rashid, Timbalan Pengarah (Surgeri), Hospital TABTAR, YBhg. Prof. Dr. Goh Bee See, Penasihat Program Sambutan Jubli Mutiara 30 Tahun Program Implan Koklea UKM, YBrs. Puan Wan Fazlina Wan Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Program Sambutan Jubli Mutiara 30 Tahun Program Implan Koklea UKM, Timbalan-timbalan Pengarah HCTM, pegawai-pegawai kanan UKM, dan para tetamu jemputan.
Galeri gambar: https://www.facebook.com/share/p/1QqTmSbcFF/
