Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025

10 Okt 2025 2025, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Jabatan Psikiatri telah menganjurkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 serta Pelancaran Unit TULUS dan Unit KASIH pada 10 Oktober 2025 (Jumaat) di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Nik Ruzyanei Nik Jaafar, Ketua Jabatan Psikiatri mewakili Pengarah HCTM.

Program tahun ini bertemakan “Access to Services – Mental Health in Catastrophes and Emergencies,” yang menekankan kepentingan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental khususnya dalam konteks bencana dan kecemasan. Objektif utama program ini adalah untuk memperkukuhkan kesedaran serta memudahkan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental melalui pelancaran dua unit baharu dan pelaksanaan kolaborasi strategik, selain mengingatkan masyarakat tentang kepentingan sokongan kesihatan mental sebagai hak asasi manusia.

Pelancaran dua unit baharu tersebut, iaitu Unit TULUS dan Unit KASIH, hasil kerjasama dengan MERCY Malaysia dapat memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan mental dan menegaskan hak setiap individu terhadap sokongan mental dalam komuniti. Pengalaman menghadapi pandemik COVID-19 dan pelbagai bencana lain telah menegaskan keperluan mendesak terhadap sokongan kesihatan mental.

Sejajar dengan itu, Jabatan Psikiatri HCTM turut melaksanakan pelbagai inisiatif inovatif seperti penyediaan “Psychological First Aid”, sesi debriefing, kaunseling serta sokongan psikososial semasa pandemik dan bencana banjir. Selain itu, turut diperkenalkan IRYS, sebuah chatbot interaktif yang boleh membantu petugas kesihatan memantau keadaan emosi, mengurus tekanan serta mengamalkan strategi pemulihan kendiri. Inisiatif ini turut memberikan sokongan kepada keluarga pesakit, pelajar perubatan, dan warga HCTM secara menyeluruh.

Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Prof. Dr. Shalimar Abdullah, Ketua Unit Tangan dan Pembedahan Mikro, Jabatan Ortopedik dan Traumatologi yang juga merupakan Timbalan Presiden, MERCY Malaysia, YBrs. Prof. Madya Dr. Chan Lai Fong, Timbalan Ketua Jabatan Psikiatri, YBrs. Prof. Madya Dr. Azlin Baharudin, Penasihat Program, YBrs. Dr. Farah Nabila Abd Majid, Pengerusi Jawatankuasa Program merangkap Ketua Unit TULUS, YBrs. Dr. Nurul Ain Mohamed Kamal, Ketua Unit KASIH, Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan dan warga HCTM.

Search

+