Majlis Perasmian Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz 2024
CHERAS, 8 Mei 2024 – Majlis Perasmian Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz 2024 anjuran Unit Kawalan Infeksi dan Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM di Auditorium Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM hari Ini.
Tanggal 5 Mei setiap tahun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjalankan kempen SAVE LIVES: Clean Your Hands sempena sambutan World Hand Hygiene Day yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebersihan tangan dalam kalangan anggota kesihatan dan orang awam. Kepatuhan kepada amalan kebersihan tangan dalam kalangan anggota kesihatan adalah langkah utama yang terbukti berkesan dalam pencegahan kes jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan dan kerintangan antimikrob (antimicrobial resistance).
“Sambutan ini secara tidak langsung dapat memantapkan amalan dan keberkesanan lima (5) momen kebersihan tangan dan program kawalan infeksi HCTM serta menjadikan ketua-ketua sebagai role model di dalam program Infection Prevention & Control (IPC) hospital.”
“Aktiviti seperti ini dapat meningkatkan imej dan kualiti perkhidmatan, seiring dengan kejayaan HCTM mendapat anugerah pensijilan MSQH dan MS ISO 9001: 2015. HCTM dapat menjadi contoh dan ikutan kepada institusi kesihatan di bawah UKM yang lain agar turut sama berusaha dan berdaya saing bagi memperkasa dan mempelopori penjagaan kesihatan di Komuniti Cheras dan Malaysia amnya.” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian ini pagi tadi.
Penyampaian Anugerah “HCTM Hand Hygiene Excellence 2023” dan persembahan ‘Kebersihan Tangan’ oleh Kumpulan Silat dan TASKA HCTM turut diselitkan dalam majlis ini. Selain itu, program ini turut menampilkan penceramah jemputan daripada Hospital Al-Sultan Abdullah, UITM dan Pusat Perubatan Universiti Malaya. Turut hadir dalam majlis ini adalah Dr. Sharifah Azura Salleh, Ketua Unit Kawalan Infeksi HCTM merangkap Pengerusi Program, Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan HCTM dan warga HCTM.
