Majlis Perasmian Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia 2025
Majlis Perasmian Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia 2025 Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan pada 30 Julai 2025 (Rabu) bertempat di Ruang Galeri Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.
Tujuan utama sambutan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan memperkukuh amalan kebersihan tangan di kalangan warga HCTM. Tema sambutan pada tahun ini, ‘It might be gloves. It’s always hand hygiene’, amat relevan dan bertepatan dalam usaha berterusan untuk mencegah penyebaran jangkitan serta memastikan keselamatan pesakit di HCTM.
Pengarah HCTM dalam ucapannya, berharap sambutan ini dapat memberi motivasi dan memperkukuhkan lagi semangat warga HCTM untuk sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi, selamat, dan berintegriti. Beliau juga berpendapat bahawa acara ini boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan amalan kebersihan yang lebih efektif dan berkesan, demi kebaikan dan keselamatan semua. Di akhir majlis, turut diadakan edaran dan nyanyian lagu Jalur Gemilang bersempena ambang Sambutan Hari Kebangsaan 2025 kepada warga HCTM yang hadir.
Turut hadir dalam majlis YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, YBrs. Dr. Sharifah Azura Salleh, Ketua, Unit Kawalan Infeksi merangkap Pengerusi Program, Ketua-ketua Jabatan dan Warga HCTM.
