Majlis Perasmian Sambutan Hari Integriti Hospital Canselor Tuanku Muhriz

13 Dis 2025 2025, Berita

Sambutan Hari Integriti Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan pada 10 Disember 2025 (Rabu), jam 9.00 pagi bertempat di Auditorium HCTM. Program ini merupakan penganjuran julung kali oleh HCTM.

Hari Integriti disambut pada 5 November setiap tahun, manakala Hari Anti Rasuah pula pada 5 Disember. Penganjuran program ini merupakan salah satu usaha meningkatkan kesedaran mengenai integriti dan anti rasuah dalam kalangan warga HCTM. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk Ikrar Integriti Malaysia, Ceramah Integriti bertajuk “Di Sana Menanti Di Sini Menunggu” yang disampaikan oleh Dr. Mohamad Shamsinor Abdul Azzis, Pensyarah Kanan Universiti Malaya merangkap Penceramah Jemputan, Pertandingan Kuiz, serta Pertandingan Mencipta Pantun sempena sambutan tersebut.

Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, menegaskan bahawa integriti boleh diterjemahkan sebagai melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat (“Doing the right thing, even when no one is watching”). Beliau turut menekankan bahawa integriti menuntut keberanian untuk berkata benar walaupun berdepan cabaran, bertanggungjawab atas setiap keputusan yang dibuat, serta komited memperbaiki proses kerja demi kebaikan bersama.

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Integriti, YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, pegawai-pegawai kanan UKM serta warga HCTM.


Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/165jtDygqM/

Search

+