Majlis Perasmian Program “Pharmacists As Collaborative Experts” (PACE) 2025 Sempena Sambutan Hari Farmasi Sedunia

31 Okt 2025 2025, Berita

Majlis Perasmian Program “Pharmacists As Collaborative Experts” (PACE) 2025 Sempena Sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya diadakan pada 28 Oktober 2025 (Selasa) di Auditorium, HCTM. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), mewakili Pengarah HCTM.

Hari Farmasi Sedunia disambut pada 25 September setiap tahun sejak 2009. Ia merupakan satu pengiktirafan terhadap sumbangan ahli farmasi di seluruh dunia dalam meningkatkan mutu penjagaan kesihatan. Tahun ini, tema yang diangkat, “Think Health, Think Pharmacist”, memperkukuh mesej bahawa ahli farmasi kini bukan lagi sekadar berperanan di sebalik kaunter, malah telah menjadi tonggak penting dalam sistem penjagaan kesihatan moden. Ahli farmasi kini adalah pakar kolaboratif dalam pasukan penjagaan kesihatan, sama ada di sektor awam, swasta, komuniti mahupun hospital. Perkhidmatan farmasi kini merangkumi pelbagai bidang kritikal seperti Klinik Pematuhan Terapi Ubat (MTAC), pembangunan garis panduan rawatan, dan penyelidikan klinikal.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Farmasi HCTM atas kejayaan menganjurkan simposium berimpak tinggi buat julung kalinya ini. Beliau juga yakin penganjuran Simposium PACE bukan sekadar acara sekali lalu, tetapi merupakan permulaan usaha berterusan memartabatkan bidang farmasi demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan sistem kesihatan negara.

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Mohd Makmor Bakry, Dekan Fakulti Farmasi UKM, YBhg. Brigedier Jeneral Mohd Adlan Adnan, Ketua Pegawai Farmasi, Jabatan Farmasi, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kementerian Pertahanan Malaysia, YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM, YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan HCTM, YBrs. Puan Michelle Tan Hwee Pheng, Ketua Jabatan Farmasi HCTM, YBrs. Puan Farah Waheeda Tajurudin, Pengarah PACE 2025, Ketua-ketua Jabatan dan para peserta.


Gambar program di Medisosial Facebook:- https://www.facebook.com/share/p/17PubbqctR/

Search

+