Majlis Perasmian Program Khidmat Masyarakat ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’
Majlis Perasmian Program Khidmat Masyarakat ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’ telah diadakan bersempena dengan Bulan Kesedaran Vaskular pada 18 hingga 19 Oktober 2024, di Dewan Komuniti Bestari, Mukim Lekir Batu 10, Sitiawan, Perak. Majlis telah dihadiri oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.
Program yang diadakan selama dua hari ini merupakan anjuran Unit Vaskular, Jabatan Surgeri HCTM dan Advanced Surgical Skill Centre (ASSC) HCTM dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Universiti Putra Malaysia. Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran, pendedahan dan mendidik masyarakat khususnya terhadap penyakit vaskular agar lebih cakna dalam mengenali gejala-gejala, faktor risiko, cara pengesanan dan pencegahan penyakit, penjagaan serta rawatan. Kesihatan vaskular merujuk kepada kesihatan dan fungsi saluran darah dalam badan, termasuk arteri dan vena. Salur darah yang sihat adalah penting untuk mengekalkan kesihatan keseluruhan fungsi badan.
Beberapa pengisian aktiviti dalam program ini ialah ceramah, saringan dan pemeriksaan kesihatan berkaitan penyakit salur darah dan buah pinggang secara percuma, pameran, aktiviti senamrobik serta aktiviti untuk kanak-kanak. Program ini juga menampilkan Tokoh Akademik UKM iaitu Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Timbalan Dekan, Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam UKM dengan pengisian program Sembang Santai ‘Kesihatan Untuk Beribadah’.
Turut hadir adalah YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor UKM, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Zaidi Md Zain@Zakaria, Ahli Lembaga Pengurusan UKM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Dr. Lenny Suryani Safri, Pengerusi Jawatankuasa Program Khidmat Masyarakat ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’, pegawai-pegawai kanan, dan komuniti setempat.
