Majlis Perasmian Minggu Kesihatan Tulang dan Sendi Sempena Hari Osteoporosis dan Osteoarthritis Sedunia 2023
CHERAS, 20 Oktober 2023 – Majlis Perasmian Minggu Kesihatan Tulang Dan Sendi Sempena Hari Osteoporosis Dan Osteoarthritis Sedunia 2023 telah diadakan di Lobi Utama, Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Majlis ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) yang hadir mewakili Pengarah HCTM. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan dalam ucapannya berkata menganjurkan program ini sinonim dengan matlamat HCTM dan Fakulti Perubatan untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang memberikan pendedahan tentang aspek penjagaan kesihatan. Beliau juga turut berkesempatan mengucapkan tahniah kepada Pasukan ‘Fracture Liaison Service‘ (FLS) Jabatan Ortopedik dan Traumatologi yang telah berjaya merangkul Anugerah Emas dalam Kempen Capture the Fracture oleh ‘International Osteoporosis Federation’ (IOF).
Turut hadir di dalam majlis ini adalah YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah Perubatan UKM Specialist Centre & Gamma Knife Centre, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abd Rashid, Timbalan Pengarah (Surgeri), Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak, YBhg. Prof. Datuk Dr. Sabarul Afian Mokhtar, Ketua Jabatan Ortopedik dan Traumatologi merangkap Penasihat Minggu Osteoporosis 2023, Prof. Madya Dr. Norliza Mohamad, Kumpulan Penyelidikan Metabolisme Tulang, Fakulti Perubatan UKM dan Dr. Juzaily Fekry Leong, Pengerusi Jawatankuasa Minggu Kesihatan Tulang Dan Sendi 2023.




