Majlis Memori Chow Kit Road

25 Ogo 2023 2023, Berita

CHERAS, 24 Ogos 2023 – Dianggarkan 200 orang warga Kampus Kuala Lumpur UKM (Cheras) yang terdiri daripada pelbagai jabatan telah membanjiri Laluan Hadapan Auditorium untuk menyaksikan Majlis Memori Chow Kit Road iaitu salah satu aktiviti Program Semarak Kemerdekaan yang diadakan pada Bulan Kemerdekaan. Inisiatif Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menerusi Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan diadakan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan warga Kampus Kuala Lumpur UKM (Cheras) yang akan disambut pada 31 Ogos 2023 nanti.

Majlis Memori Chow Kit Road merupakan program menyambut ambang kemerdekaan yang ke-66 dengan  menggunakan konsep yang diambil daripada konsert jalanan terbesar Allahyarham Sudirman Arshad telah diadakan secara percuma pada 14 April 1986 di Jalan Chow Kit. Konsert penyanyi pop 80-an tersebut telah mencipta sejarah apabila menghimpunkan lebih 100, 000 daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan pelbagai latar belakang, kaum, agama dan pendidikan. Sejajar dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini ‘Malaysia Madani : Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, konsep yang diketengahkan ini telah diterima baik dan mendapat maklum balas positif daripada warga kerja HCTM dan Kampus Kuala Lumpur UKM (Cheras). Antara pengisian program Memori Chow Kit Road ialah perarakan kawad kaki Bahagian Keselamatan Kampus Kuala Lumpur yang diketuai oleh Encik Mohd Shukur Halim, penyerahan Jalur Gemilang oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM kepada Kapten (B) Hamon Rafiz Abd Hamed, Ketua Bahagian Keselamatan Kampus Kuala Lumpur, pengibaran jalur gemilang serta nyanyian lagu Negaraku, nyanyian kior, deklamasi sajak, pakaian terbaik,  dan reruai juadah seperti nasi lemak, kuih, air balang, ubi kayu rebus dan lain-lain.

Antara yang hadir ke Majlis Memori Chow Kit Road ini adalah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM, Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), Ketua-ketua Jabatan dan warga Kampus Kuala Lumpur UKM (Cheras).

 

 

Search

+