Majlis Graduasi Taska Hospital Canselor Tuanku Muhriz Sesi 2023

20 Nov 2023 2023, Berita

CHERAS, 16 November 2023 – Seramai 23 orang anak-anak taska menerima sijil penghargaan dalam Majlis Graduasi Taska Hospital Canselor Tuanku Muhriz Sesi 2023 bertempat di Dewan Kuliah Advanced Surgical Skills Centre (ASSC), HCTM. Majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM.

Majlis Graduasi merupakan acara tahunan anjuran  Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu.  Prof. Dato’ Dr  Razman, Pengarah HCTM dalam ucapanya berkata majlis ini merupakan acara yang dinanti-nantikan oleh warga Taska dan juga satu bentuk penghormatan dan penghargaan kepada para pendidik taska atas segala usaha yang telah dicurahkan dalam mendidik anak-anak. Memetik ucapan Menteri Pendidikan Malaysia, masyarakat pada hari ini semakin menyedari bahawa keperluan pendidikan yang baik dan berkualiti sangat berkait rapat dalam menentukan kualiti dan nasib masa hadapan generasi anak bangsa. Didikan yang baik pastinya akan membantu anak-anak untuk membesar dan menjadi insan yang berguna kelak serta melahirkan anak
bangsa yang penuh kemuliaan sifatnya, maka, segalanya bermula dari pendidikan.

Pengarah HCTM mengucapkan tahniah kepada semua tenaga pengajar dan berharap taska HCTM terus menjadi contoh bagi pendidikan dan pembangunan masyarakat modal insan yang unggul dan berkualiti demi mencapai matlamatnya pada masa hadapan. Turut hadir meraikan majlis tersebut, Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar, Puan Zuraidah Konil, Ketua Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu, Ketua-ketua Jabatan, Puan Emilia Nurfarah ‘Ain Azmi, Penyelia Taska HCTM, Ibu Bapa dan warga HCTM.

 

Search

+