Majlis Perhimpunan Kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Bil. 1/2024
CHERAS, 29 Januari 2024 – Seramai 200 kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Kampus Kuala Lumpur telah menghadiri Majlis Perhimpunan Kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Bil. 1/2024 yang diadakan di Ruang Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Hiasan lampu ‘neon’ yang menjadi simbolik fesyen bandar moden, perhimpunan pertama kakitangan HCTM hari ini membuka tirai dengan ucapan dan amanat daripada YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM.
Sepanjang tahun 2023, pelbagai kejayaan dan kecemerlangan berjaya dilakar oleh warga HCTM sama ada diperingkat individu, Jabatan, Universiti mahupun Persada Antarabangsa. Mengimbau semula pencapaian tahun 2023, beberapa kejayaan telah diketengahkan seperti Kejohanan Sukan Staf antara Gugusan UKM, Anugerah Bitara Kelestarian (Pusat Perkhidmatan-HCTM) sempena Majlis Anugerah Bitara UKM, Penarafan 5 Bintang pelaksanaan myPortfolio HCTM sempena Inspektorat, dan Johan Perarakan (Kategori Pusat Tanggungjawab) Kontijen UKM Kampus KL sempena Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023. Selain itu, sepanjang tahun 2023 sebanyak 58 program aktiviti khidmat bakti, 53 acara rasmi anjuran jabatan dan PTj, dan 37 aktiviti lawatan korporat dan akademik dalam dan luar negara telah dijalankan. Beberapa perkhidmatan baharu di HCTM telah diperkenalkan pada tahun lepas dan awal tahun ini antaranya penubuhan 2 unit di bawah Pusat Jantung dan Paru-paru iaitu Unit Pembedahan Kardiothorasik Dan Unit Kardiologi, penubuhan Unit Penyeliaan Penolong Pegawai Perubatan, penubuhan Klinik Kesihatan Pekerjaan HCTM, dan penubuhan Unit Kesihatan Awam HCTM mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026 yang diketuai oleh YBhg. Mejar Bersekutu (PA) Prof. Dr. Mohd. Rohaizat Hassan.
Berkesempatan ini, beliau mengumumkan tahun 2024 merupakan Tahun Pengukuhan HCTM di mana penguatkuasaan meliputi aspek peraturan, arahan dan pekeliling digunakapakai bagi semua warga HCTM. Pengukuhan sistem pengurusan kualiti yang mempunyai ketahanan yang tinggi (resilience) dan pendekatan penguasaan responsif, dinamik dan inklusif melalui STRATEGI 6R iaitu Recovery (Pemulihan), Reform (Menyusun Semula), Restart (Memulakan Semula), Revitalise (Memperkasa), Resolve (Ketegasan), dan Resilience (Ketahanan).
Kakitangan yang hadir juga turut didedahkan dengan pengenalan kepada Sustain Development Goals (SDG) serta Kolaborasi dan Jaringan Strategik dengan pelbagai pihak dalam membantu peningkatan kemahiran tenaga kerja melalui perkongsian, sangkutan atau latihan. Dalam majlis yang sama, turut diadakan Penyerahan Sijil Malaysian Society Quality in Health (MSQH) dan Perasmian Ambulans Jabatan Perubatan Kecemasan. Majlis telah dihadiri oleh semua Timbalan-timbalan Pengarah, Timbalan Pendaftar, Ketua-ketua Jabatan, dan warga UKM.




















