Program Komuniti Remaja ACTIVE 2.0 (Active Choices Towards Values and hEalth)

19 Nov 2026

Program Komuniti Remaja ACTIVE 2.0 (Active Choices Towards Values and hEalth) merupakan inisiatif pendidikan kesihatan bagi memperkasakan remaja berusia 13 hingga 18 tahun dengan ilmu kesihatan menyeluruh, kemahiran membuat keputusan bijak, serta amalan gaya hidup sihat. Siri pertama program ini telah berlangsung pada 7 November 2026 (Sabtu), jam 8:30 pagi hingga 12:00 tengah hari di Pusat Komuniti PERMATA Remaja, PPR Kg Muhibbah. Sepanjang program, peserta didedahkan dengan tiga pengisian interaktif utama, iaitu sesi kesedaran khas “Pornografi: Biasa atau Bawa Binasa?” yang mengupas risiko serta langkah perlindungan diri, slot Stress Management & Refusal Skills menerusi aktiviti senario True or False untuk mengurus tekanan dan menolak pengaruh negatif, serta sesi Time Management Interactive Discussion bagi membantu remaja mengimbangi masa belajar, gajet, dan rutin harian.

Program ini diterajui oleh Dr. Nik Munirah Binti Nik Mohd Nasir (Felo ADC Jabatan Perubatan Keluarga UKM; Pensyarah dan Pakar Perubatan Keluarga, UiTM) bersama pasukan perubatan yang terdiri daripada Dr. Hayatul Najaa Miptah dan Dr. Khalifah Nabilah Mashar (Pensyarah dan Pakar Perubatan Keluarga, UiTM), Dr. Nazrina Binti Noor ‘Azlan (Pegawai Perubatan, HCTM), serta Dr. Fatin Azzahra Binti Lokman (Pensyarah Perubatan Pelatih, UKM). Turut hadir sebagai penceramah jemputan khas ialah Dr. Nik Sumayyah Nik Mohd Nor, Pakar Obstetrik, Ginekologi dan Ginekologi Pediatrik & Remaja dari Hospital Tunku Azizah. Secara keseluruhannya, penganjuran siri pertama ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkasakan jati diri remaja setempat dan akan bersambung dengan sesi siri kedua bagi memastikan kesinambungan pembudayaan gaya hidup sihat.

Search

+