Jelajah Vaksin : Taiping
Taiping, 15 September 2021- Seramai 756 penerima vaksin telah hadir ke kawasan Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Kamunting seawal jam 08.30 pagi bagi mendapatkan suntikan kedua vaksin Covid-19 .
Jelajah vaksin pada kali ini mensasarkan kumpulan sasaran fasa 3 di dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) seawal usia 18 tahun yang berada di daerah Larut, Matang dan Selama. Pihak PPVB HCTM UKM turut menyediakan khidmat kerusi roda bagi penerima vaksin yang memerlukan. Tidak ketinggalan juga bagi penerima vaksin yang terlantar di rumah, pihak PPVB HCTM UKM turut melaksanakan Program Perkhidmatan Jangkau Luar (Outreach Programme) vaksinasi COVID-19.
Secara keseluruhannya, sekitar 8,846 penduduk di kawasan ini telah mendapat suntikan sejak akhir bulan Ogos menerusi program ini.
Seramai 25 kakitangan HCTM UKM yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat, pegawai penyelaras dan pemandu kenderaan terlibat bagi menjayakan program ini. Turut hadir, En. Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar HCTM mewakili pihak Pengurusan HCTM ke PPVB HCTM di Dewan Kamunting bagi memantau proses vaksinasi yang dijalankan. Pelaksanaan program ini turut dijayakan oleh sukarelawan yang terdiri daripada anak-anak muda tempatan, Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Jabatan Kesihatan Negeri Perak, KKM, PDRM, RELA, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi. Menerusi program ini, harapan besar disandarkan agar imuniti kelompok dapat dicapai untuk mengekang penularan wabak Covid-19.



