Jasamu Dikenang 2022
CHERAS, 13 Disember 2022 – Seramai 32 orang pesara warga HCTM tahun 2021 diraikan dalam Majlis Jasamu Dikenang 2022 anjuran Jabatan Sumber Manusia HCTM pada tengahari tadi di Ruang Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar, HCTM. Bertemakan Retro 60-70an, acara ini diadakan setiap tahun untuk menghargai jasa, pengorbanan, dan bakti yang dicurahkan semasa pesara masih berkhidmat di HCTM.
Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM dalam ucapan aluannya memaklumkan seramai 20 orang warga HCTM yang bersara wajib, 10 orang telah memilih bersara pilihan, seorang bersara atas sebab kesihatan dan seorang telah menghadap Ilahi pada 1 September 2021 yang lalu iaitu Allahyarham Syahrul Zamri Sarkawi yang bertugas di Jabatan Perubatan Kecemasan. Ucapan wakil pesara HCTM telah disampaikan oleh Dato’ Harun Bintang, yang juga merupakan Penolong Setiausaha Persatuan Pesara Universiti Kebangsaan Malaysia. Turut hadir dalam majlis Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali, Pengerusi Persatuan Pesara UKM, Timbalan-timbalan Pengarah HCTM, Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar yang juga merangkap sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis Jasamu Dikenang Hospital Canselor Tuanku Muhriz Tahun 2022.
