Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK)

YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, UKM telah merasmikan Majlis Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) pada 12 Disember 2024 yang bertempat di Auditorium, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Sambutan Hari PPK kali ini, yang bertemakan “Jiwa Madani Asas Kecemerlangan Profesion” bertujuan untuk menghargai peranan penting PPK dalam menyokong kelancaran perkhidmatan kesihatan, serta untuk meraikan pencapaian mereka dalam meningkatkan kemahiran profesional. Tema ini menekankan nilai-nilai kemanusiaan dan profesionalisme sebagai asas utama dalam mencapai kecemerlangan dalam bidang perkhidmatan kesihatan.
Majlis ini juga turut menyaksikan pentauliahan seramai 53 orang Pembantu Perawatan Kesihatan yang berjaya menamatkan Kursus Kompetensi sesi 2022 & 2023. Dalam ucapannya, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah memuji peranan penting PPK yang digambarkan sebagai “permata berharga” dalam memastikan kelancaran perkhidmatan klinikal dan penjagaan pesakit yang berkualiti.
Turut hadir memeriahkan majlis, YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) HCTM, YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, HCTM, YBrs. Encik Jaslim Arif Shah, Pengerusi Jawatankuasa Program dan warga HCTM.

Majlis Graduasi Taska Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Sesi 2024

Seramai 19 orang anak-anak taska menerima sijil penghargaan dalam Majlis Graduasi Taska Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Sesi 2024 yang diadakan pada 26 November 2024 (Selasa) bertempat di Auditorium Advanced Surgical Skills Centre (ASSC), HCTM. Majlis disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM. Pengarah HCTM dalam ucapannya memetik ucapan Menteri Pendidikan Malaysia yang menyatakan bahawa pendidikan adalah tentang pembentukan ‘otak dan watak’ yang merujuk kepada keterpujian sahsiah yang merangkumi perkembangan ilmu, pembentukan karakter, pemurnian adab dan akhlak dalam melahirkan anak bangsa yang berbudi bahasa. Beliau juga menekankan asas pendidikan awal yang diberikan oleh pendidik kepada kanak-kanak taska, seperti nilai murni dan sahsiah dalam membentuk diri bagi membantu anak-anak untuk membesar menjadi insan yang berguna. Turut hadir dalam majlis, YBrs. Prof. Madya. Dr. Jamari Sapuan Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Zuraidah Konil, Ketua Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis, ketua-ketua jabatan, ibu bapa dan warga HCTM.

 

Majlis Penutup Healthcare Leadership Management Programme dan Pertukaran MoU Antara UKM dan SingHealth

CHERAS, 8 Mei 2024 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM melalui Jabatan Komunikasi Korporat telah menganjurkan Majlis Penutup Healthcare Leadership Management Programme dan Pertukaran MoU Antara UKM dan SingHealth semalam di Auditorium Advanced Surgical Skills Centre (ASSC), HCTM.

Healthcare Leadership Management Programme yang pertama telah diadakan pada tahun 2020 di Auditorium UMBI dengan penglibatan seramai 71 orang peserta pada ketika itu.  Prof. Dato’ Dr. Hanafiah, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur yang mewakili Naib Canselor UKM dalam ucapannya berkata, “Dalam tempoh tiga (3) tahun kita berjaya menjangkau 260 peserta dengan kira-kira 20 projek yang dibentangkan.

“Siapa sangka dalam 3 tahun kita ada berjaya meliputi topik pengurusan seperti Kepimpinan Penjagaan Kesihatan, Pembiayaan Penjagaan Kesihatan, Risiko Pengurusan, Pengurusan Sumber Manusia, Komunikasi, Kesihatan Penduduk, Strategi Penjagaan Kesihatan & Penyampaian Nilai Pesakit, Pengurusan Wabak pada peringkat sistem, Diabetes Mellitus – Pencegahan & Pengurusan, dan Kualiti Klinikal dan Keselamatan Pesakit”, katanya.

Peserta program ini terdiri daripada kumpulan pengurusan dan profesional daripada gugusan hospital pengajar (KHUAM – Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia). Penganjuran program ini adalah hasil kerjasama HCTM dan Singapore Health Services (SingHealth) dalam memupuk rangkaian pengamal penjagaan kesihatan yang diberi kuasa untuk meningkatkan penjagaan kesihatan serta sebagai platform perkongsian kepakaran untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang mampan merentas komuniti di rantau ini.

Penganjuran Healthcare Leadership Management Programme, SingHealth berperanan sebagai penyedia Modul Latihan, HCTM sebagai rakan kolaborasi selaku peneraju dalam memastikan program dirancang berjalan dengan lancar manakala tajaan dan dana adalah daripada Temasek Foundation International.

Turut diadakan Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) Antara UKM dan SingHealth. UKM diwakili oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid selaku Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur. Manakala SingHealth pula diwakili oleh YBhg. Prof. Fong Kok Yong, Deputy Group CEO (Medical & Clinical Services). Hadir juga dalam majlis ini adalah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM, Puan Vijaya Rao, Director International Collaboration Office, SingHealth, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Jabatan dan barisan kakitangan Hospital Pengajar Univerisiti Awam Malaysia.

 

 

 

 

Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat HCTM

CHERAS, 6 Mac 2024 – “Kesihatan buah pinggang untuk semua” merupakan tema Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia pada tahun ini. Unit Nefrologi Jabatan Perubatan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan serta Persatuan Pakar Perubatan UKM mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024 Peringkat HCTM di Lobi Utama, Blok Klinikal HCTM.

Menurut Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Ketua Jabatan Perubatan, saban tahun rakyat Malaysia yang menderita penyakit kegagalan fungsi buah pinggang semakin meningkat. Pada tahun 2012, seramai 29,452 rakyat negara ini, menjalani rawatan dialisis dan jumlah kian meningkat kepada 51,256 pesakit pada tahun 2022.

“Jumlah pesakit meningkat lebih dua (2) kali ganda dalam tempoh hanya 10 tahun dan peningkatan ini dijangka akan berterusan, sekiranya langkah-langkah penjagaan kesihatan tidak diutamakan” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian pagi ini.

Beliau juga berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran dan kepedulian tentang kesihatan buah pinggang dan jadikan program ini sebagai tonggak penting dalam usaha meningkatkan kesedaran tersebut.

Dianggarkan seramai 100 orang awam dan kakitangan telah hadir ke majlis perasmian ini. Majlis telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Ketua Jabatan Perubatan dan wakil Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Search

+