Cheras, 17 Februari 2022 – Majlis Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat HCTM anjuran Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan telah diadakan di Auditorium HCTM pada petang tadi. Bertemakan ‘Nurses: A Voice To Lead – Invest In Nursing And Respect Rights To Secure Global Health‘, prefesion jururawat merupakan nadi dan tulang belakang sesuatu institusi kesihatan. Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM.
Berucap dalam majlis, Dato’ Dr. Hanafiah merakamkan jutaan terima kasih kepada semua
jururawat yang berkorban masa dan tenaga untuk menyelamatkan nyawa pesakit semasa pandemik Covid-19 serta menjayakan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Program KRIS KPT. Sambutan Hari Jururawat Sedunia pada hari ini melibatkan jemputan luar dalam sesi forum iaitu wakil dari Cuepacs, dari Jabatan Perkhidmatan Awam dan wakil dari Kesatuan Jururawat Malaysia dalam membincangkan berkaitan kebajikan, halatuju dan cabaran kerjaya jururawat kini dan masa depan.
Terdahulu berlangsung Seminar Jururawat Anggun & Unggul pada hari yang sama dengan beberapa penceramah jemputan seperti Prof. Madya Dr. Rohani Arshad, Prof. Adjung Universiti MAHSA, Prof. Madya Sr. Dr. Norngainy Mohd Tawil, Pensyarah Universiti & Penyelaras Kreativiti Jabatan Seni Bina dan Alam Bina UKM, Puan Norasyikin Binti Johan, Pegawai Dietatik Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan, dan Puan Sabariah Shariff, Eksekutif Mary Kay untuk berkongsi maklumat dan pengalaman kepada para peserta yang hadir.