Bola Sepak Piala Dunia jadi Tema Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.3/2022
CHERAS ,16 Disember 2022 – Tema Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022 telah dipilih secara spontan untuk Majlis Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.3/2022. Pendekatan ini memberikan kelainan berbanding sebelumnya apabila warga HCTM termasuk barisan pengurusan HCTM hadir memakai jersi bola. Perhimpunan dimulakan dengan tayangan aktiviti dan ucapan Pengarah HCTM. Prof. Dato’ Razman Jarmin, Pengarah HCTM dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada warga HCTM yang telah mengharumkan nama hospital dengan aktiviti-aktiviti peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau juga turut memaklumkan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 HCTM dan Pelancaran Logo Rasmi HCTM dan Buku Coffee Table 25 Tahun HCTM serta Perasmian Wad Tuanku Canselor yang berlangsung pada 19 Oktober 2022 yang lalu telah berjalan lancar hasil kerjasama dan semangat berpasukan warga HCTM.
Perhimpunan Kakitangan memberi kelainan dengan pengisian terbaharu diserikan dengan persembahan band kumpulan Examiners yang diketuai oleh Encik Yusri, pertunjukan menimbang bola (ball juggling) oleh pasukan bola sepak HCTM, dan sesi #TanyalahKami oleh barisan pengurusan HCTM. Sesi pelancaran dan penyampaian hadiah seperti Pelancaran Sistem eNsiden, Pelancaran Sistem Medical Certificate of Cause of Death, Pelancaran Sistem Pengurusan Aset Bersepadu (CMAS), Pelancaran Polisi Umum dan Jabatan-Jabatan HCTM, dan acara-acara penyampaian hadiah dan sijil seperti Acara penyampaian Sijil Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB HCTM), penyampaian hadiah pemenang Bulan Kemerdekaan, Pemenang Pertandingan Logo HCTM, penyampaian cenderamata Sempena Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan, simbolik Penyerahan Piala Kejohanan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat UKM, dan simbolik penyampaian sejadah untuk Program Infaq Sejadah kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diaturkan pada akhir majlis perhimpunan ini. Turut hadir dalam majlis Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Timbalan-timbalan Pengarah, dan warga UKM.
Iklan Jawatan Kosong Pekerja Sambilan Harian (PSH) Di Hospital Canselor Tuanku Muhriz
Kriteria Pemilihan:
- Warganegara Malaysia.
- Berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan.
- Kepujian (sekurang-kurangnya Gred C) dalam subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia/Sijil
Vokasional Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan. - Boleh bertutur dan menulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan baik.
- Boleh bekerja secara individu dan berkumpulan serta menjalankan tugasan lain seperti yang diarahkan.
- Bersedia menerima arahan kerja lebih masa sekiranya diperlukan.
- Mahir menggunakan komputer dan perisian Microsoft Office.
Warganegara yang berminat boleh rujuk lampiran yang disertakan di bawah.
Tutup Iklan : 30 Disember 2022
Link: Iklan PSH – DISEMBER 2022
Jasamu Dikenang 2022
CHERAS, 13 Disember 2022 – Seramai 32 orang pesara warga HCTM tahun 2021 diraikan dalam Majlis Jasamu Dikenang 2022 anjuran Jabatan Sumber Manusia HCTM pada tengahari tadi di Ruang Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar, HCTM. Bertemakan Retro 60-70an, acara ini diadakan setiap tahun untuk menghargai jasa, pengorbanan, dan bakti yang dicurahkan semasa pesara masih berkhidmat di HCTM.
Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM dalam ucapan aluannya memaklumkan seramai 20 orang warga HCTM yang bersara wajib, 10 orang telah memilih bersara pilihan, seorang bersara atas sebab kesihatan dan seorang telah menghadap Ilahi pada 1 September 2021 yang lalu iaitu Allahyarham Syahrul Zamri Sarkawi yang bertugas di Jabatan Perubatan Kecemasan. Ucapan wakil pesara HCTM telah disampaikan oleh Dato’ Harun Bintang, yang juga merupakan Penolong Setiausaha Persatuan Pesara Universiti Kebangsaan Malaysia. Turut hadir dalam majlis Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali, Pengerusi Persatuan Pesara UKM, Timbalan-timbalan Pengarah HCTM, Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar yang juga merangkap sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis Jasamu Dikenang Hospital Canselor Tuanku Muhriz Tahun 2022.
Sunathon HCTM 2022
CHERAS, 10 Disember 2022 – Seramai 86 orang anak-anak warga HCTM UKM dan Rumah Ronald McDonald telah menyertai Program Sunathon HCTM 2022′ yang diadakan pada hari ini. Program khatan beramai-ramai anjuran Hospital Canselor Tuanku Muhriz merupakan acara tahunan yang telah bermula sejak tahun 2003 dengan tujuan melaksanakan tanggungjawab sosial bagi membantu meringankan bebanan warga kerja HCTM yang kurang berkemampuan. Program ini dilaksanakan pada setiap tahun kecuali tahun 2020, ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Acara perasmian Program Sunathon HCTM 2022 telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM di Auditorium HCTM. Turut hadir dalam program, En. Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar HCTM, En. Mohd. Nasri Nordin, Pengarah Urusan Rumah Ronald McDonald, Prof. Madya Dr. Shahrun Niza Abdullah Suhaimi, Ketua Jabatan Surgeri, dan Lt. Kol. (PA) Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Md. Zainuddin, Ketua Jawatankuasa Sunathon HCTM.
Majlis Graduasi Taska Hospital Canselor Tuanku Muhriz Sesi 2022
Majlis Graduasi Taska Hospital Canselor Tuanku Muhriz Sesi 2022 telah diadakan pada pagi tadi di Auditorium ASSC HCTM. Program anjuran Taska HCTM, Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu ini adalah untuk meraikan 24 orang kanak-kanak graduan Taska HCTM. Taska HCTM yang kini berusia 24 tahun ditubuhkan awal tahun 1998, terdahulu dikenali sebagai Taska Pujangga HUKM diikuti Taska PERMATA Pusat Perubatan UKM sejurus selepas HCTM dibuka.
Pendidikan awal kanak-kanak menjadi satu agenda perbincangan utama kepada negara terutamanya organisasi kerajaan dan swasta yang semakin giat menubuhkan taska di tempat kerja demi menjaga kebajikan kakitangan. Perkhidmatan Taska HCTM meliputi asuhan dan didikan kepada anak-anak kakitangan yang berumur tiga (3) bulan hingga empat (4) tahun. Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM. Turut hadir dalam majlis Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar HCTM, Puan Zuraidah Konil, Ketua Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu HCTM, pendidik Taska dan ibubapa.
Program Pemulihan Pemanduan, “Return To Drive” (RTD)
Program Pemulihan Pemanduan, “Return To Drive” (RTD) merupakan salah satu perkhidmatan yang dijalankan oleh Unit Terapi Carakerja, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, HCTM. Bengkel ini bertujuan untuk memantapkan ilmu pengetahuan, kemahiran ahli terapi di dalam pengendalian penilaian serta intervensi perawatan dan berkongsi perkembangan program pemulihan pemanduan di Unit Terapi Carakerja. Program ini akan diadakan pada butiran seperti berikut:-
Tarikh : 7 Disember 2022 (Rabu)
Masa : 8.15 pagi – 4.30 petang
Tempat : Bilik Latihan Kefungsian Unit Terapi Carakerja, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, HCTM
Penceramah: Encik Zulkarami Amin Nudin
Jurupulih Perubatan Carakerja (Kanan)
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan bengkel, sila hubungi 03-9145 5746.
Sijil Punca Kematian (MCCOD)
Medical Certificate of Cause of Death (MCCOD) atau Sijil Punca Kematian adalah satu dokumen merekod punca kematian pesakit mengikut standard antarabangsa yang dicadangkan oleh World Health Organization (WHO). Penggunaannya penting bagi membolehkan underlying cause of death pesakit dapat dikenalpasti dengan lebih tepat dan langkah-langkah pencegahan dapat dirancang dan dilaksana dengan lebih baik. MCCOD ini juga dapat meningkatkan kualiti data kematian hospital.
Menyedari kepentingan ini, Pusat Antarabangsa Casemix dan Pengekodan Klinikal (ITCC) dan Bahagian Teknologi Maklumat Kampus Kuala Lumpur (BTM KKL) menggembleng tenaga bagi mengintegrasikan MCCOD ini ke dalam Sistem CHEtS agar ia dapat diisi oleh pegawai perubatan terakhir yang merawat pesakit. Beberapa siri taklimat dan Latihan pengguna telah dijalankan serta projek pilot turut dilaksanakan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bermula 14 November sehingga 15 Disember 2022. Maklum balas serta keberkesanan penggunaan MCCOD akan diperhalusi dan sasaran agar ia dilaksanakan sepenuhnya di semua jabatan bermula Januari 2023.
Pertanyaan lanjut mengenai MCCOD, sila hubungi 03-9145 6988 atau layari laman web ITCC di https://hctm.ukm.my/ITCC/

Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat HCTM
CHERAS, 28 Oktober 2022 (Jumaat) – Unit Geriatrik HCTM telah menganjurkan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat HCTM di Lobi Utama HCTM. Program ini diadakan bagi meraikan warga emas dan mendidik golongan muda untuk membela nasib warga emas terutamanya yang uzur dan kurang berupaya. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh wakil pengurusan HCTM, Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
Beliau dalam ucapannya berkata pendedahan kepada semua yang terlibat dalam bidang perawatan warga emas adalah penting kerana Malaysia bakal menuju ke arah status negara tua. Menurut laporan perangkaan suku pertama tahun 2021, komposisi penduduk warga emas berusia 65 tahun ke atas meningkat daripada 2.26 juta orang kepada 2.37 juta bagi tempoh sama. Dianggarkan lebih kurang 705 orang pesakit Geriatrik mendapat rawatan di HCTM bermula bulan Mei 2019 hingga September 2022 dan jumlah ini semakin meningkat setiap tahun.
Sempena sambutan Warga Emas, beberapa aktiviti telah dijalankan antaranya pameran reruai daripada pelbagai unit sokongan dalam perawatan Geriatrik (warga emas), agihan 100 goodie bags kepada pelawat yang hadir, ceramah kesihatan, sesi regangan badan, dan cabutan bertuah. Program ini juga mendapat sokongan dan sumbangan daripada rakan strategi seperti Malaysian Society of Geriatric Medicine, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tena, Brego, dan M&B Medical Marketing.
Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM
CHERAS, 19 Oktober – Hampir 180 orang tetamu jemputan telah hadir memenuhi undangan dan meraikan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Wad Tuanku Canselor yang telah disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud pada pagi tadi. Ucapan menjunjung kasih telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Beliau dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah memacu hospital ke arah pusat perubatan bertaraf antarabangsa. Semangat kebersamaan demi kecemerlangan organisasi tidak kira sama ada kakitangan klinikal atau bukan klinikal telah menaikkan nama hospital selama 25 tahun. Banyak kejayaan telah dikecapi antaranya ialah Advanced Surgical Skills Centre (ASSC) menjadi pusat latihan kemahiran pembedahan pertama di luar United Kingdom (UK) menerima Akreditasi dari The Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd), Jabatan Surgeri melalui kepakaran bariatrik telah merekodkan sebanyak 2,000 pembedahan telah berjaya dilakukan, dan penaiktarafan Pusat Reproduktif Termaju menjadi Pusat Rujukan Onkofertiliti Pertama Malaysia. HCTM juga aktif dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dengan kerjasama dengan KPT melalui Program KPT-Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS). Melalui dana yang disalurkan oleh KPT, sebanyak 53 Projek melibatkan aktiviti pemeriksaan kesihatan (Klinik Bergerak) termasuk melibatkan pakar yang turun ke komuniti.
Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM turut diselitkan dengan pelancaran logo rasmi Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan juga pelancaran Buku Coffee Table Jubli Perak 25 Tahun. Turut hadir dalam majlis Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj Toriman, Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM.




































































