29 Mac 2021, Cheras, Kuala Lumpur – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) hari ini telah menerima kunjungan dari YB Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang telah melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19. Ketibaan YB Menteri telah disambut oleh YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor, Kampus Kuala Lumpur (KKL) dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah, Hospital Canselor Tuanku Muhriz
(HCTM).
YB Menteri telah meluangkan masa untuk bertemu petugas dan penerima vaksin COVID-19 di sini serta sempat bertanyakan khabar mereka yang akan dan telah menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 ini. Taklimat ringkas telah diberikan oleh Dr. Sharifa Azura Salleh, Ketua Unit Kawalan Infeksi, merangkap Ketua Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) HCTM mengenai program vaksinasi yang telah dijalankan mulai 1 Mac 2021 sehingga kini. Program vaksinasi ini akan berlangsung secara berperingkat selama 6 minggu melibatkan 4,134
kakitangan. Vaksin Pfizer ini diberikan kepada kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Fakulti Perubatan UKM, Fakulti Pergigian UKM, Fakulti Farmasi UKM, Institut Biologi Molekul Perubatan, UKM (UMBI), Hospital Pakar Kanak-kanak, UKM dan Pusat Kesihatan Universiti, UKM.
Kehadiran YB Menteri sangat signifikan buat semua warga dan telah menyuntik semangat kerja mereka terutama dalam menjalankan tugasan bagi menghadapi penularan wabak COVID-19. Lawatan diakhiri dengan pertemuan ringkas dan tertutup di antara YB Menteri, Naib Canselor UKM dan ahli Pengurusan HCTM yang berlangsung di Pejabat Pengarah, Kompleks Pendidikan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM.
Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan
Hospital Canselor Tuanku Muhriz
Universiti Kebangsaan Malaysia
29 Mac 2021
