Ceramah Motivasi Sempena Sambutan Hari Pekerja tahun 2025 – Di Sebalik Uniform , Ada Hati Yang Tabah


Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025/1446H Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras) telah diadakan pada 17 April 2025 (Khamis) bertempat di Lobi Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM. Majlis ini merupakan anjuran Kampus Kuala Lumpur (KKL) (Zon Cheras) dengan kerjasama Fakulti Perubatan UKM, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (HPKK), Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI) dan Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI).
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor KKL. Penganjuran ini bertujuan untuk memupuk ukhuwah, meningkatkan rasa syukur dan memperkasakan hubungan silaturrahim antara warga KKL (Zon Cheras). Majlis dimeriahkan dengan persembahan daripada Warga KKL (Zon Cheras) dan tarian daripada kanak-kanak Taska HCTM. Selain itu, turut diadakan penyampaian sumbangan duit raya kepada kanak-kanak Taska HCTM sebagai tanda ingatan dan kasih sayang. Pelbagai juadah menarik yang sinonim dengan sambutan Syawal disajikan seperti lemang dan rendang, nasi impit dan kuah kacang, sate, set nasi Arab, bihun sup, kambing golek, ayam golek dan lain-lain.
Majlis Aidilfitri ini dihadiri oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UKM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Ismail Sagap, Pengarah HPKK, YBhg. Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Dekan Fakulti Perubatan dan Prof. Madya Dr. Nor Azian Abdul Murad, Pengarah UMBI, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Pengurusan Tertinggi Universiti, Timbalan-timbalan pengarah, Ketua-ketua Jabatan, Rakan-rakan strategik, Para pengamal media dan Warga UKM.
Majlis Penyampaian Juadah Sempena Hari Raya Pertama Aidilfitri 1 Syawal 1446H yang disambut pada 31 Mac 2025 telah diadakan di Lobi Utama, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Ianya disambut secara sederhana bagi meraikan dan menghargai sumbangan warga HCTM yang bertugas demi berbakti kepada masyarakat setempat.
Pada majlis ini, sebanyak 640 pek juadah pelbagai menu dan 65 hamper raya telah diagihkan kepada kakitangan yang bertugas melibatkan Jabatan Klinikal, Sokongan Klinikal, Pentadbiran dan sebahagian dari Kampus Kuala Lumpur. Penyerahan sumbangan ini telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pangarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan) mewakili Pengarah HCTM. Beliau berkesempatan memberi sedikit ucapan, beramah mesra dan bergambar bersama beberapa kakitangan sebelum majlis selesai.


Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah mengadakan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 pada 18 Februari 2025 (Selasa) bertempat di Ruang Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Majlis dimeriahkan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM. Majlis ini diadakan bertujuan untuk meraikan keunikan tradisi dan budaya masyarakat Cina selain dapat memupuk semangat keharmonian pelbagai kaum. Tahun 2025 merupakan Tahun Ular yang membawa simbol dan harapan bagi memperbaharui azam serta mencapai kejayaan dan kesejahteraan hidup.
Berucap dalam majlis, Pengarah HCTM juga mengingatkan pentingnya kerjasama dan keharmonian dalam kalangan warga kerja untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik. Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada urus setia yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Majlis dimulakan dengan persembahan pembukaan tarian singa daripada Pertubuhan Latihan Jasmani Kee Ling Kok Kuala diikuti acara kemuncak menggaul Yee Sang dan diakhiri dengan pemberian buah limau Mandarin kepada para tetamu yang hadir.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Syahrul Sazliyana Shaharir, Penolong Dekan (Perkhidmatan Klinikal), wakil Dekan Fakulti Perubatan UKM, YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan dan YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Pegawai-Pegawai Kanan dan warga kerja yang diraikan.
Suasana di Lobi Utama Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM berubah meriah dengan keceriaan hiasan bertemakan sambutan Tahun Baharu Cina. Hasil gubahan warga Jabatan Khidmat Pelanggan dengan kerjasama Jabatan Komunikasi Korporat, hiasan gantungan Tanglung Merah, ‘Ang Pow’ dan Bunga Sakura buatan adalah sebagai simbol tuah dan kegembiraan. Walaupun berada di hospital, semangat sambutan Tahun Baharu Cina tetap terasa. Ia bukan sekadar hiasan, namun jelas menzahirkan perpaduan, keharmonian dan harapan baharu buat semua. Turut hadir memberikan sokongan YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBrs. Encik Ahmad Zamri Noordin Ketua Jabatan Khidmat Pelanggan dan YBrs Puan Sherda Rusland, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat.
Gong Xi Fa Cai!
Daripada Pengurusan dan Warga Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
Majlis Bicara HCTM: 45 Minit bersama Pengarah telah diadakan pada 14 Januari 2025 bertempat di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dengan kehadiran hampir 300 warga HCTM. Acara diserikan dengan persembahan pembukaan yang dipersembahkan oleh kumpulan persembahan di bawah portfolio Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan).
Fokus utama penganjuran majlis ini adalah untuk mengiktiraf pencapaian dan kecemerlangan yang telah diraih oleh HCTM sepanjang tahun 2024. Antara sorotan utama termasuk Ucapan Penghargaan dan Tahniah kepada Pelantikan Tampuk Kepimpinan UKM dan HCTM, kejayaan-kejayaan yang telah dicapai, perkembangan prestasi pengurusan serta hala tuju 2025 HCTM dalam Peningkatan Kualiti, Pemerkasaan Kakitangan, Kecekapan Pengurusan Sumber Manusia dan Pengukuhan Perkhidmatan Komuniti.
Berucap dalam majlis, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, telah menyampaikan hasrat agar warga HCTM memberikan sokongan terhadap pembaharuan budaya kerja dengan menunjukkan kerjasama, integriti, dan komunikasi yang berkesan. Beliau juga menekankan kepentingan memainkan peranan aktif dalam meningkatkan kualiti kerja, mengutamakan inovasi, serta memupuk kepimpinan yang positif. YBhg. Dato’ percaya bahawa dengan komitmen dan dedikasi daripada semua, HCTM akan dapat mencapai persekitaran kerja yang lebih efisien dan berorientasikan kecemerlangan, sekali gus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.
Di majlis perhimpunan ini, warga HCTM diberi peluang untuk sesi soal jawab bersama Pengurusan HCTM serta diberi peluang memberi pandangan dan cadangan secara langsung. Dalam majlis yang sama, turut berlangsung Pelancaran Podcast i-Doktor yang dikelolakan oleh Jabatan Multimedia dan Penyiaran, HCTM serta upacara Simbolik Menandatangani Dasar Keselamatan, Kesihatan, dan Persekitaran Pekerjaan HCTM.
Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran) dan YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Ketua-ketua Jabatan dan Warga HCTM.