Kenyataan Umum Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz Bil. 12/2025
Kenyataan Umum Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz Bil. 12/2025 berhubung dengan Pelaporan Insiden Kemalangan, Kecurian, Kehilangan, Pencerobohan, dan Lain-lain Melalui Sistem e-Kawal Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Majlis Perasmian Hari Kualiti HCTM 2025
Tahniah HCTM merangkul Anugerah Emas (GOLD Award) di International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) 2025
Majlis Perasmian Program “Pharmacists As Collaborative Experts” (PACE) 2025 Sempena Sambutan Hari Farmasi Sedunia
Majlis Perasmian Program “Pharmacists As Collaborative Experts” (PACE) 2025 Sempena Sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya diadakan pada 28 Oktober 2025 (Selasa) di Auditorium, HCTM. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), mewakili Pengarah HCTM.
Hari Farmasi Sedunia disambut pada 25 September setiap tahun sejak 2009. Ia merupakan satu pengiktirafan terhadap sumbangan ahli farmasi di seluruh dunia dalam meningkatkan mutu penjagaan kesihatan. Tahun ini, tema yang diangkat, “Think Health, Think Pharmacist”, memperkukuh mesej bahawa ahli farmasi kini bukan lagi sekadar berperanan di sebalik kaunter, malah telah menjadi tonggak penting dalam sistem penjagaan kesihatan moden. Ahli farmasi kini adalah pakar kolaboratif dalam pasukan penjagaan kesihatan, sama ada di sektor awam, swasta, komuniti mahupun hospital. Perkhidmatan farmasi kini merangkumi pelbagai bidang kritikal seperti Klinik Pematuhan Terapi Ubat (MTAC), pembangunan garis panduan rawatan, dan penyelidikan klinikal.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Farmasi HCTM atas kejayaan menganjurkan simposium berimpak tinggi buat julung kalinya ini. Beliau juga yakin penganjuran Simposium PACE bukan sekadar acara sekali lalu, tetapi merupakan permulaan usaha berterusan memartabatkan bidang farmasi demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan sistem kesihatan negara.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Mohd Makmor Bakry, Dekan Fakulti Farmasi UKM, YBhg. Brigedier Jeneral Mohd Adlan Adnan, Ketua Pegawai Farmasi, Jabatan Farmasi, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kementerian Pertahanan Malaysia, YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM, YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan HCTM, YBrs. Puan Michelle Tan Hwee Pheng, Ketua Jabatan Farmasi HCTM, YBrs. Puan Farah Waheeda Tajurudin, Pengarah PACE 2025, Ketua-ketua Jabatan dan para peserta.
Gambar program di Medisosial Facebook:- https://www.facebook.com/share/p/17PubbqctR/
Majlis Perasmian Hari Sukan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) HCTM
Hari Sukan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Tahun 2025 diraikan dengan penuh ceria pada Sabtu, 25 Oktober 2025 di Foyer Lobi, Bangunan Praklinikal, Fakulti Perubatan UKM. Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.
Pengarah dalam ucapannya, merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepada pihak TASKA HCTM. Penyertaan mereka dalam aktiviti seperti ini dilihat dapat mengeratkan hubungan antara rumah dan pusat jagaan, sekali gus membentuk suasana pembelajaran yang lebih harmoni dan penuh kasih sayang.
Hari Sukan ini bukan sahaja memberi peluang kepada anak-anak untuk kesihatan fizikal, tetapi juga memupuk nilai murni seperti semangat berpasukan, keyakinan diri, hormat-menghormati serta memupuk semangat untuk tidak mudah berputus asa. Aktiviti ini amat digalakkan agar nilai-nilai kesukanan ini diterapkan secara berterusan dalam kehidupan seharian, menjadikan gaya hidup aktif sebagai budaya keluarga yang sihat dan positif.
Turut hadir memberikan sokongan adalah YBhg. Datin Dr. Anita Sulong, Timbalan Pengarah (Diagnostik, Farmasi & Sokongan Klinikal) Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM, YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran) HCTM, YBrs. Puan Rohaya Ismail, Ketua Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu, HCTM, YBrs. Dr. Muhamad Karbela Reza Ramlan, Pengerusi Jawatankuasa Hari Sukan TASKA, HCTM 2025 dan para ibu bapa.
Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Kesihatan Tulang dan Sendi 2025
Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Tulang dan Sendi 2025 Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya dianjurkan oleh Jabatan Ortopedik dan Traumatologi, HCTM dengan kerjasama Kumpulan Penyelidikan Metabolisme Tulang, Fakulti Perubatan UKM. Majlis ini telah diadakan pada 23 Oktober 2025 (Khamis) di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM bersempena Hari Osteoporosis Sedunia yang disambut setiap 20 Oktober di seluruh dunia. Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Muhammad Fathi Hayyun, Pengerusi Minggu Kesedaran Kesihatan Tulang dan Sendi 2025 dan majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Nor Hamdan Mohamad Yahaya, Ketua Jabatan Ortopedik & Traumatologi mewakili Pengarah HCTM.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai penjagaan kesihatan tulang, terutama dalam mencegah penyakit osteoporosis yang semakin meningkat dalam kalangan warga emas. Menurut statistik semasa, penyakit osteoporosis kini semakin membimbangkan, terutama dalam kalangan populasi menua di Malaysia. Osteoporosis yang dikategorikan sebagai penyakit tidak berjangkit (NCD) dijangka terus meningkat sejajar dengan pertambahan usia rakyat Malaysia.
Selaras dengan perkembangan teknologi perubatan dan inisiatif kerajaan ke arah pendigitalan serta Revolusi Industri 4.0, HCTM telah memperkenalkan penggunaan teknologi robotik dalam pembedahan sendi lutut. Pembedahan “robotic total knee replacement” yang dimulakan pada tahun 2023 kini menunjukkan peningkatan permintaan dalam kalangan pesakit. Video bersiri pendidikan pesakit turut diperkenalkan bagi memberi maklumat menyeluruh berkaitan prosedur ini. Pada masa yang sama, usaha penyelidikan dalam bidang kesihatan tulang terus diperkukuh oleh kumpulan penyelidik UKM.
Turut hadir memeriahkan majlis ini, YBrs. Prof. Madya Dr. Norazlin Kamal Nor, Timbalan Pengarah (Perubatan), Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak- kanak, UKM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Sabarul Afian Mokhtar, Penasihat Program Minggu Kesedaran Kesihatan Tulang dan Sendi 2025, YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Perkhidmatan Kejururawatan HCTM, Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan UKM dan warga UKM.
Simbolik Penyerahan Sumbangan Bangunan Klinik Kesihatan
Simbolik penyerahan sumbangan bangunan klinik kesihatan telah berlangsung pada 21 Oktober 2025 (Selasa) di Klinik Kesihatan Batu 14, Hulu Langat. Simbolik penyerahan ini adalah anjuran bersama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat.
Tujuan utama simbolik penyerahan ini adalah bagi menandakan penyerahan rasmi bangunan Klinik Ibu dan Anak, Klinik Kesihatan Batu 14, serta Bangunan Tambahan Klinik Kesihatan Batu 9 oleh HCTM kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) serta untuk mengesahkan penyerahan fasiliti tersebut kepada pihak JKNS bagi tujuan pelaksanaan dan pengurusan seterusnya, mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sesi penyerahan telah berjalan lancar dan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM kepada YBrs. Dr. Wan Noraini Wan Mohamed Noor, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor (Kesihatan Awam) yang menerima penyerahan tersebut mewakili pihak JKNS.
Turut hadir sama ialah YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, YBrs. Encik Mohd Fahmeey Hashim, Ketua Jabatan Pembangunan Prasarana, Dr. Norsafinaz Mohamed, Pegawai Kesihatan Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat dan Dr. Noor Laila Sehat, Pegawai Khas kepada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor.

Program Gotong-Royong Perdana HCTM 2025
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Jawatankuasa 5S telah menganjurkan Program Gotong-Royong Perdana HCTM 2025 yang berlangsung pada 15 Oktober 2025, bertempat di Dewan Serbaguna, Bangunan Blok Tambahan, HCTM. Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.
Sebagai simbolik perasmian Program Gotong-Royong Perdana HCTM 2025, penyerahan peralatan gotong-royong telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Zanudin Mohd Daud, Pendaftar UKM kepada YBrs. Encik Muhamad Khairi Khalis, Pengerusi Jawatankuasa 5S HCTM. Penyerahan ini bukan sahaja menandakan permulaan rasmi program, malah mencerminkan komitmen padu pihak pengurusan terhadap inisiatif kebersihan, kecekapan operasi, dan kelestarian persekitaran hospital.
Tujuan utama program ini adalah untuk memperindah dan membersihkan persekitaran dan ruang di Jabatan/Unit/Pusat HCTM. Selain itu, ia mencerminkan komitmen HCTM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sejajar dengan agenda pembangunan lestari menjelang 2030. Program ini juga selari dengan pelaksanaan Standard Kualiti MSQH serta amalan 5S/QE yang menekankan persekitaran kerja yang selamat, teratur dan berdaya saing.
Program ini secara tidak langsung telah berjaya menyemarakkan semangat kebersamaan dan kerjasama dalam kalangan warga HCTM, membuktikan bahawa budaya kerja yang bersih dan teratur mampu dicapai melalui penglibatan menyeluruh semua lapisan kakitangan. Sebagai sebuah institusi kesihatan terulung, HCTM terus menunjukkan komitmen tinggi terhadap pencapaian SDG melalui pelbagai inisiatif dalaman termasuk penyediaan persekitaran yang sihat, pengurusan sumber secara lestari, serta peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan.
Turut hadir memberikan sokongan, YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program, YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, Ketua-ketua Jabatan dan Warga HCTM.
Majlis Perasmian Seminar “Development Of A National Health Insurance: Roles And Functions In Supporting Universal Health Coverage In Middle Income Countries”
Majlis Perasmian Seminar “Development Of A National Health Insurance: Roles And Functions In Supporting Universal Health Coverage In Middle Income Countries” yang dianjurkan oleh Asia Pacific Network for Health Systems Strengthening (ANHSS) dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan pada 14 Oktober 2025 (Selasa) bertempat di Dewan Khalid Kadir, HCTM.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor, Kampus Kuala Lumpur, UKM. ANHSS, sebuah rangkaian yang merangkumi sembilan institusi bersama World Bank Institute, telah beroperasi lebih 15 tahun dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan di rantau Asia melalui pertukaran ilmu dan pembangunan kapasiti.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa di Asia, penjagaan kesihatan diiktiraf sebagai hak asasi manusia. Usaha memperjuangkan perlindungan kesihatan sejagat sedang giat dijalankan meskipun berdepan dengan cabaran kos yang tinggi serta kekangan tenaga kerja. Beliau juga menekankan pencapaian positif dalam prestasi kesihatan di Asia Tenggara yang perlu dipertahankan dan diperkukuh. Selain itu, beliau menyatakan teknologi terkini, termasuk kecerdasan buatan, akan memainkan peranan penting dalam sistem kesihatan masa hadapan, namun penggunaannya harus dilakukan dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan ketidaksamaan dan berat sebelah yang tidak diingini.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Prof. Dr. Laksono Trisnantoro, Pengarah Fakulti Perubatan, Kesihatan Awam dan Kejururawatan, Universitas Gadjah Mada, Indonesia merangkap Pengerusi Seminar; YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM; YBhg. Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), wakil Dekan Fakulti Perubatan UKM; YBhg. Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, Dekan Pusat Pengajian Citra Universiti merangkap Pengerusi ANHSS Malaysia; YBhg. Prof. Dr. Azimatun Noor Aizuddin, Ketua Pusat Informatik Kesihatan; pegawai-pegawai kanan dan peserta-peserta seminar.







