CHERAS, 9 Julai – Majlis Perasmian Karnival Madani: Sihat dan Prihatin Sempena Penutup Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah diadakan pada 9 Julai 2023 bertempat di Lobi Utama, Blok Klinikal HCTM. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Azman Hj Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, wakil YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Penganjuran karnival ini bertujuan memberi informasi kesihatan dan perubatan bagi meningkatkan kesedaran awam dan juga mendekatkan komuniti masyarakat setempat khususnya Parlimen Bandar Tun Razak dan sekitarnya mengenali fungsi dan kemudahan kepakaran di HCTM. Dianggarkan lebih 1000 orang pengunjung telah hadir dan tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pemeriksaan percuma, melibatkan diri dalam aktiviti riadah, mendapatkan maklumat kesihatan, dan meluangkan masa bersama keluarga. Sepanjang karnival berlangsung, banyak aktiviti menarik telah diadakan antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, pameran kesihatan, larian ceria HCTM, senamrobik, sukaneka, aktiviti interaktif dan lain-lain lagi.
YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman, Naib Canselor UKM dalam ucapannya berkata UKM berasa bertuah kerana dapat memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat termasuk penduduk di Parlimen Bandar Tun Razak. Karnival ini diadakan bertujuan untuk menyalurkan informasi kesihatan, mempromosikan fungsi, kemudahan kepakaran, dan perubatan bagi meningkatkan kesedaran awam, di samping mendekati komuniti masyarakat setempat khususnya Parlimen Bandar Tun Razak dan sekitarnya. Majlis turut menyaksikan simbolik penyampaian baucar pemeriksaan kesihatan sebanyak 600 keping kepada wakil sub zon Bandar Tun Razak. Baucer pemeriksaan kesihatan ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), diberikan kepada para penduduk Parlimen Bandar Tun Razak yang tidak berkesempatan hadir. Baucar ini boleh digunakan oleh penerima untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma pada tarikh-tarikh yang ditetapkan.
Selain daripada itu, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) diteruskan dengan beberapa program yang akan berlangsung di Kawasan Bandar Tun Razak antaranya Program Berkhatan (Sunathon), Program Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, Program Kesedaran Dietetik dan Sajian Makanan dan Program Kesihatan Mental.
Karnival Madani Sihat dan Prihatin menutup tirai tepat pada jam 4.00 petang.