Budaya Merakyatkan Universiti Melalui Program Pemberian Vaksin Bergerak di Bagan Datuk
Bagan Datuk, 9 Oktober 2021- Sebanyak 1,421 dos vaksin telah berjaya diberikan menerusi Program Pemberian Vaksin Bergerak di Bagan Datuk yang bermula pada 13 September 2021 sehingga 9 Oktober 2021. Penduduk daerah Bagan Datuk menerima suntikan vaksin dengan hadir sendiri ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) satelit di Dewan Perdana UMNO Bagan Datuk atau melalui kaedah Program Jangkau Luar (Outreach Programme) yang dilaksanakan secara lawatan oleh pasukan kesihatan rumah ke rumah, masjid, rumah ibadat serta pusat komuniti sekitar Seberang Perak, Hilir Perak dan Pulau Ganda Suli, sempadan negeri Selangor.
Program PPVB ini adalah sebahagian daripada Program KPT – Prihatin yang mensasarkan 36 Pusat Pemberian Vaksin di pelbagai daerah. Setakat ini, sebanyak 40,000 dos telah diberikan oleh pasukan vaksinasi dari HCTM merangkumi 9 buah PPV. Turut bersama Pasukan Vaksinasi HCTM, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Bagan Datuk dan diiringi YB. Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi serta YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro-Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur ke Program Jangkau Luar bagi menyantuni penerima yang terlantar dan mempunyai masalah pergerakan. Seiring dengan Program KPT-Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) HCTM, program Jangkau Luar ini dilaksanakan bagi memastikan penduduk sekitar tidak terpinggir dan terabai.






