Bicara Pengarah HCTM Sempena Majlis Perhimpunan Kakitangan Bil.2/2025

10 Okt 2025 2025, Berita

Bicara Pengarah HCTM Sempena Majlis Perhimpunan Kakitangan Bil.2/2025 telah diadakan pada 9 Oktober 2025 (Khamis) bertempat di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kehadiran lebih 300 warga HCTM. Acara diserikan dengan persembahan pembukaan yang dipersembahkan oleh kumpulan di bawah portfolio Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan).

Fokus utama penganjuran majlis ini adalah untuk mengiktiraf pencapaian dan kecemerlangan HCTM sepanjang tempoh Februari hingga September 2025. Antara agenda utama termasuk Ucapan Penghargaan dan Tahniah sempena pelantikan kepimpinan baharu UKM dan HCTM, sorotan kejayaan-kejayaan penting, penganugerahan dan pengiktirafan kepada kakitangan, laporan perkembangan prestasi HCTM serta pembentangan maklumat terkini merangkumi aspek Sumber Manusia, Prasarana, Prestasi Kewangan dan Maklum Balas Pelanggan. 

YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, dalam ucapannya berharap agar dengan semangat kebersamaan dan nilai profesionalisme yang tinggi, beliau yakin HCTM akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah pusat perkhidmatan kesihatan bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja unggul dalam bidang klinikal dan penyelidikan, malah menjadi pilihan utama masyarakat untuk mendapatkan rawatan yang terbaik. Di majlis perhimpunan ini, warga HCTM diberi peluang untuk sesi soal jawab bersama Pengurusan HCTM serta diberi peluang memberi pandangan dan cadangan secara langsung. 

Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Ketua-ketua Jabatan dan Warga HCTM.

Search

+