Majlis Perasmian Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz 2024

9 Mei 2024 2024, Berita
CHERAS, 8 Mei 2024 – Majlis Perasmian Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz 2024 anjuran Unit Kawalan Infeksi dan Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM di Auditorium Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM hari Ini.
Tanggal 5 Mei setiap tahun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjalankan kempen SAVE LIVES: Clean Your Hands sempena sambutan World Hand Hygiene Day yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebersihan tangan dalam kalangan anggota kesihatan dan orang awam. Kepatuhan kepada amalan kebersihan tangan dalam kalangan anggota kesihatan adalah langkah utama yang terbukti berkesan dalam pencegahan kes jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan dan kerintangan antimikrob (antimicrobial resistance).
“Sambutan ini secara tidak langsung dapat memantapkan amalan dan keberkesanan lima (5) momen kebersihan tangan dan program kawalan infeksi HCTM serta menjadikan ketua-ketua sebagai role model di dalam program Infection Prevention & Control (IPC) hospital.”
“Aktiviti seperti ini dapat meningkatkan imej dan kualiti perkhidmatan, seiring dengan kejayaan HCTM mendapat anugerah pensijilan MSQH dan MS ISO 9001: 2015. HCTM dapat menjadi contoh dan ikutan kepada institusi kesihatan di bawah UKM yang lain agar turut sama berusaha dan berdaya saing bagi memperkasa dan mempelopori penjagaan kesihatan di Komuniti Cheras dan Malaysia amnya.” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian ini pagi tadi.
Penyampaian Anugerah “HCTM Hand Hygiene Excellence 2023” dan persembahan ‘Kebersihan Tangan’ oleh Kumpulan Silat dan TASKA HCTM turut diselitkan dalam majlis ini. Selain itu, program ini turut menampilkan penceramah jemputan daripada Hospital Al-Sultan Abdullah, UITM dan Pusat Perubatan Universiti Malaya. Turut hadir dalam majlis ini adalah Dr. Sharifah Azura Salleh, Ketua Unit Kawalan Infeksi HCTM merangkap Pengerusi Program, Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan HCTM dan warga HCTM.

Majlis Penutup Healthcare Leadership Management Programme dan Pertukaran MoU Antara UKM dan SingHealth

CHERAS, 8 Mei 2024 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM melalui Jabatan Komunikasi Korporat telah menganjurkan Majlis Penutup Healthcare Leadership Management Programme dan Pertukaran MoU Antara UKM dan SingHealth semalam di Auditorium Advanced Surgical Skills Centre (ASSC), HCTM.

Healthcare Leadership Management Programme yang pertama telah diadakan pada tahun 2020 di Auditorium UMBI dengan penglibatan seramai 71 orang peserta pada ketika itu.  Prof. Dato’ Dr. Hanafiah, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur yang mewakili Naib Canselor UKM dalam ucapannya berkata, “Dalam tempoh tiga (3) tahun kita berjaya menjangkau 260 peserta dengan kira-kira 20 projek yang dibentangkan.

“Siapa sangka dalam 3 tahun kita ada berjaya meliputi topik pengurusan seperti Kepimpinan Penjagaan Kesihatan, Pembiayaan Penjagaan Kesihatan, Risiko Pengurusan, Pengurusan Sumber Manusia, Komunikasi, Kesihatan Penduduk, Strategi Penjagaan Kesihatan & Penyampaian Nilai Pesakit, Pengurusan Wabak pada peringkat sistem, Diabetes Mellitus – Pencegahan & Pengurusan, dan Kualiti Klinikal dan Keselamatan Pesakit”, katanya.

Peserta program ini terdiri daripada kumpulan pengurusan dan profesional daripada gugusan hospital pengajar (KHUAM – Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia). Penganjuran program ini adalah hasil kerjasama HCTM dan Singapore Health Services (SingHealth) dalam memupuk rangkaian pengamal penjagaan kesihatan yang diberi kuasa untuk meningkatkan penjagaan kesihatan serta sebagai platform perkongsian kepakaran untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang mampan merentas komuniti di rantau ini.

Penganjuran Healthcare Leadership Management Programme, SingHealth berperanan sebagai penyedia Modul Latihan, HCTM sebagai rakan kolaborasi selaku peneraju dalam memastikan program dirancang berjalan dengan lancar manakala tajaan dan dana adalah daripada Temasek Foundation International.

Turut diadakan Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) Antara UKM dan SingHealth. UKM diwakili oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid selaku Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur. Manakala SingHealth pula diwakili oleh YBhg. Prof. Fong Kok Yong, Deputy Group CEO (Medical & Clinical Services). Hadir juga dalam majlis ini adalah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM, Puan Vijaya Rao, Director International Collaboration Office, SingHealth, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Jabatan dan barisan kakitangan Hospital Pengajar Univerisiti Awam Malaysia.

 

 

 

 

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024/1445H Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras) UKM

26 Apr 2024 2024, Berita
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024/1445H Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras) UKM disambut meriah pada 23 April 2023 di Perkarangan Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz dengan kehadiran lebih 3,000 warga Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras) UKM. Penganjuran majlis ini adalah hasil kerjasama Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras), Fakulti Perubatan UKM, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK), Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI) dan Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI).
YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 mewakili Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur berkata, tujuan utama majlis ini diadakan adalah bagi memupuk ukhuwah, meningkatkan rasa syukur dan memperkasakan hubungan silaturrahim antara warga Kampus Kuala Lumpur. Majlis yang bermula pada jam 2:30 petang dimeriahkan dengan persembahan daripada Kumpulan Kugiran Karyara, Kanak- kanak TASKA HCTM dan warga kerja KKL. Pelbagai juadah menarik yang sinonim dengan sambutan syawal disajikan seperti lemang dan rendang, nasi impit dan kuah kacang, sate, set nasi beriani, roti Arab dan gulai kawah kambing, ayam golek, pelbagai kuih muih dan mi.
Selain itu, turut diadakan penyampaian sumbangan duit raya kepada Kanak-kanak TASKA HCTM dan hadiah bagi pemenang Program Lebaran Aidilfitri iaitu Pertandingan Video Pendek Raya, Pertandingan Mencipta Kad Raya Kreatif dan Program Terjah Raya 2024 (Hiasan Pejabat).
Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM dan YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor bersama Pengurusan Tertinggi UKM. Hadir sama, Dekan-dekan dan Pengarah-pengarah, Timbalan-timbalan Dekan dan Pengarah, Rakan-rakan Strategik, Pengamal Media, Tetamu -tetamu Jemputan, Ketua-ketua Jabatan dan Warga UKM.

Jemputan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras)

18 Apr 2024 2024, Berita
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras) UKM akan diadakan seperti butiran berikut:
Tarikh: 23 April 2024 (Selasa)
Masa: 2.30 Petang
Tempat: Perkarangan Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz
Seluruh Warga Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras) UKM dijemput hadir bagi memeriahkan majlis ini.

Majlis Penyampaian Juadah Sempena Hari Raya Pertama Aidilfitri

15 Apr 2024 2024, Berita

CHERAS, 10 April 2024 – Majlis Penyampaian Juadah Sempena Hari Raya Pertama Aidilfitri, 1 Syawal 1445H/2024 telah diadakan di Lobi Utama, Hospital Canselor Tuanku Muhriz hari ini disambut secara sederhana bagi meraikan dan menghargai sumbangan kakitangan HCTM yang bertugas pada 1 Syawal demi berbakti kepada masyarakat setempat.

Sebanyak 626 pek juadah pelbagai menu dan 65 bakul raya telah disediakan dan diagihkan kepada kakitangan bertugas pada hari ini. Agihan pek juadah telah diedarkan kepada kakitangan bertugas di Jabatan Klinikal, Sokongan Klinikal, Pentadbiran dan sebahagian dari Kampus Kuala Lumpur.

Penyerahan sumbangan ini telah disampaikan oleh Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar mewakili Pengarah HCTM. Pada kesempatan ini, beliau mengucapkan Selamat Hari Raya dan beramah mesra bersama kakitangan yang hadir. Turut hadir pada pagi Syawal ini, Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan.

 

 

1 10 11 12 13 14 41

Search

+