Majlis Perasmian Penutup Program Ihya’ Ramadan dan Santunan Kasih Aidilfitri
Majlis Perasmian Penutup Program Ihya’ Ramadan dan Santunan Kasih Aidilfitri 1446H Bersamaan 2025M telah diadakan pada 26 Mac 2025 (Rabu) bertempat di Dewan Serbaguna 2, Blok Tambahan, Kompleks Pendidikan Perubatan, Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM, UKM. Ucapan penutup telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.
Program Ihya’ Ramadan ini merupakan anjuran Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik (JPMD) bersama satu inisiatif anjuran bersama Kesatuan Kakitangan UKM (KESUKMA), Persatuan Juruteknologi Makmal Perubatan UKM, Kelab Kembara Ukhuwah Malaysia (UKM BIKERS), Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan UKM serta Kelab Sukan dan Kebajikan, Teknologi Maklumat HCTM. Sebanyak sembilan (9) program telah berjaya dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan. Tujuan utama program ini dibuat adalah untuk menyantuni golongan yang kurang berkemampuan daripada kalangan asnaf iaitu warga emas, mualaf, anak yatim dan kakitangan serta secara tidak langsung membantu meringankan beban semasa menyambut Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.
Pengarah HCTM, dalam ucapannya berharap usaha-usaha sebegini dapat diteruskan dan dijadikan amalan oleh warga kerja UKM/HCTM serta menjadi contoh kepada generasi akan datang. Beliau juga turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli yang terlibat yang menjadi tulang belakang Persatuan/Kelab dalam mengimarahkan setiap Program Ihya’ Ramadan.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Prof. Sr. Ts. Dr. Adi Irfan Che Ani, Pro Naib Canselor (Penjanaan dan Prasarana) merangkap Presiden Kelab Ukhuwah Kembara Malaysia, YBhg. Prof. Dr. Mohd Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, YBrs. Dr. Munirah Md Mansor, Ketua Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, YBrs. Encik Abdul Rahman Bin Haji Mohd Nordin, Presiden KESUKMA, YBrs Encik Ahmad Amin Ahmad Ltif Pengerusi Program, pegawai-pegawai kanan,dan para tetamu jemputan.

