Majlis Bicara HCTM: 45 Minit Bersama Pengarah Bil. 1/2025
Majlis Bicara HCTM: 45 Minit bersama Pengarah telah diadakan pada 14 Januari 2025 bertempat di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dengan kehadiran hampir 300 warga HCTM. Acara diserikan dengan persembahan pembukaan yang dipersembahkan oleh kumpulan persembahan di bawah portfolio Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan).
Fokus utama penganjuran majlis ini adalah untuk mengiktiraf pencapaian dan kecemerlangan yang telah diraih oleh HCTM sepanjang tahun 2024. Antara sorotan utama termasuk Ucapan Penghargaan dan Tahniah kepada Pelantikan Tampuk Kepimpinan UKM dan HCTM, kejayaan-kejayaan yang telah dicapai, perkembangan prestasi pengurusan serta hala tuju 2025 HCTM dalam Peningkatan Kualiti, Pemerkasaan Kakitangan, Kecekapan Pengurusan Sumber Manusia dan Pengukuhan Perkhidmatan Komuniti.
Berucap dalam majlis, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, telah menyampaikan hasrat agar warga HCTM memberikan sokongan terhadap pembaharuan budaya kerja dengan menunjukkan kerjasama, integriti, dan komunikasi yang berkesan. Beliau juga menekankan kepentingan memainkan peranan aktif dalam meningkatkan kualiti kerja, mengutamakan inovasi, serta memupuk kepimpinan yang positif. YBhg. Dato’ percaya bahawa dengan komitmen dan dedikasi daripada semua, HCTM akan dapat mencapai persekitaran kerja yang lebih efisien dan berorientasikan kecemerlangan, sekali gus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.
Di majlis perhimpunan ini, warga HCTM diberi peluang untuk sesi soal jawab bersama Pengurusan HCTM serta diberi peluang memberi pandangan dan cadangan secara langsung. Dalam majlis yang sama, turut berlangsung Pelancaran Podcast i-Doktor yang dikelolakan oleh Jabatan Multimedia dan Penyiaran, HCTM serta upacara Simbolik Menandatangani Dasar Keselamatan, Kesihatan, dan Persekitaran Pekerjaan HCTM.
Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran) dan YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Ketua-ketua Jabatan dan Warga HCTM.





