Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK)
YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, UKM telah merasmikan Majlis Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) pada 12 Disember 2024 yang bertempat di Auditorium, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Sambutan Hari PPK kali ini, yang bertemakan “Jiwa Madani Asas Kecemerlangan Profesion” bertujuan untuk menghargai peranan penting PPK dalam menyokong kelancaran perkhidmatan kesihatan, serta untuk meraikan pencapaian mereka dalam meningkatkan kemahiran profesional. Tema ini menekankan nilai-nilai kemanusiaan dan profesionalisme sebagai asas utama dalam mencapai kecemerlangan dalam bidang perkhidmatan kesihatan.
Majlis ini juga turut menyaksikan pentauliahan seramai 53 orang Pembantu Perawatan Kesihatan yang berjaya menamatkan Kursus Kompetensi sesi 2022 & 2023. Dalam ucapannya, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah memuji peranan penting PPK yang digambarkan sebagai “permata berharga” dalam memastikan kelancaran perkhidmatan klinikal dan penjagaan pesakit yang berkualiti.
Turut hadir memeriahkan majlis, YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) HCTM, YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, HCTM, YBrs. Encik Jaslim Arif Shah, Pengerusi Jawatankuasa Program dan warga HCTM.







