Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM)

21 Okt 2024 2024, Artikel, Berita

CHERAS, 21 Oktober 2024 – Majlis Perasmian Minggu Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MRKKP) UKM 2024 anjuran Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM) telah diadakan di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar HCTM, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh YBrs. Ir. Ts. Dr. Majahar Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menaruh harapan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia agar dapat memberikan komitmen penuh untuk menjadikan KKP sebagai agenda utama dalam pelan strategik di UKM dan merealisasikan pembentukan “budaya kerja selamat dan sihat” terutama dalam konteks Universiti.

MRKKP yang berlangsung pada 21 hingga 25 Oktober 2024 merupakan kerjasama Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM dan Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI). Bertemakan ‘Persekitaran Kerja Yang Sihat dan Selamat Adalah Hak Asasi Setiap Pekerja’ dan slogan ‘Selamat Bekerja dan Bekerja Dengan Selamat’, amat bertepatan dengan kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah Bengkel Kelengkapan dan Perlindungan PPE, Program Gaya Hidup Sihat: Senamrobik Watan, Strategi Diet Gaya Hidup Sihat dan Seimbang serta pelbagai lagi aktiviti lain dibuka kepada seluruh warga UKM. Majlis Perasmian MRKKP UKM 2024 juga turut melancarkan Buku Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM serta Daftar dan Inventori Bahan Kimia UKM.

Hadir sama, YBhg. Prof. Ts. Dr. Kadir Arifin, Pengarah Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM, mewakili Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Dan Pengerusi Minggu Risiko, Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan UKM 2024, Prof. Madya Dr. Jemaima Che Hamzah, wakil Dekan Fakulti Perubatan, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Ismail Sagap, Pengarah Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak, Prof. Madya Dr. Nor Azian Abdul Murad, Pengarah Institut Biologi Molekul Perubatan, Timbalan-timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM, Timbalan-timbalan Pengarah HCTM, Ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan dan warga HCTM.

Search

+