Tayangan Filem Sempena Sambutan Program Merdeka: Tanah Airku Peringkat HCTM
Buat julung kalinya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz telah menganjurkan Tayangan Filem Penunggang Agama 2 Sempena Program Merdeka: Tanah Airku Peringkat HCTM di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM, hari ini. Penunggang Agama 2 merupakan sebuah filem arahan dan lakon layar sutradara muda, Syafiq Yusof.
Tayangan filem ini dimeriahkan dengan penampilan khas, YBhg. Datuk Dr. Yusuf Haslam ACP (K), Pengarah Skop Productions Sdn Bhd diiringi YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM. Sorakan daripada 270 penonton menggamatkan lagi suasana di Auditorium. Berucap dalam majlis, Pengarah HCTM menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Skop Productions kerana memberi penajaan bagi menjayakan program ini. Tambah beliau, tayangan filem ini merupakan tayangan pertama dengan kerjasama Skop Productions Sdn Bhd.
Tayangan turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM bersama isteri, YBhg. Datin Rokiah Yahya. Turut hadir pada tayangan tersebut adalah YBhg. Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Dekan Fakulti Perubatan UKM, Ahli-ahli Pengurusan HCTM dan Fakulti Perubatan, Ketua-ketua Jabatan dan delegasi Skop Productions Sdn Bhd.
